Perak Hari Ini

Sultan Perak Berjiwa Rakyat, Ribuan Hadir Beri Penghormatan Terakhir

Ribuan rakyat jelata hadir menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar bermula dari jam 9 pagi tadi.

Kehilangan baginda begitu dirasai apabila rakyat daripada segenap bangsa dan tanpa mengira usia hadir untuk memberi penghormatan terakhir sehingga jam 11.30 pagi tadi.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor antara yang terawal menziarahi jenazah Al-Marhum Sultan Azlan iaitu sekitar jam 8.45 pagi.

Sementara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pula mencemar duli berangkat menziarahi jenazah baginda pada jam 10.45 pagi.

Rakyat yang ditemui, Musyairi Adnan, berkata kehilangan baginda cukup dirasai dan dia tidak mahu ketinggalan untuk memberi penghormatan terakhir terhadap sultan yang berjiwa rakyat itu.

“Al-Marhum seorang sultan yang cukup mementingkan rakyat dan sudah pastinya kita akan merinduinya kelak,” katanya.

Sementara itu, Syahira Azman pula menegaskan beliau berasa sedih dan terkilan kerana tidak berpeluang langsung menatap wajah Sultan Perak secara dekat sebelum ini.

“Saya tidak pernah melihatnya secara dekat sebelum ini dan hari ini saya hadir untuk melihat sendiri baginda buat kali terakhir,” katanya.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mangkat pada usia 86 tahun dan memerintah negeri tersebut selama 30 tahun.

Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta seorang putera dan tiga orang puteri.

Istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang baharu dijadual berlangsung pada jam 2.30 petang ini sebelum jenazah Sultan Azlan Shah disemayamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");