Jenayah

Syabu RM4.6 juta

syabu

Kuala Lumpur: Sindiket pengedaran dadah didalangi warga Iran dan Nigeria dikesan menggunakan taktik dengan menyembunyikan syabu bernilai RM4.6 juta di dalam bungkusan makanan ringan serta alat pemain cakera padat bagi memudahkan ia diseludup ke luar negara.

Sindiket membabitkan ‘tauke’ dadah mewah ini bagaimana berjaya ditumpaskan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, JSJN Selangor dibantu Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) selepas melakukan empat serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Isnin dan Selasa lalu.

Dalam serbuan itu, empat lelaki warga Iran dan dua warga Nigeria termasuk seorang wanita ditahan sebelum dadah syabu seberat hampir 23 kilogram dirampas.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama Isnin lalu, tiga ahli sindiket warga Iran yang menaiki sebuah kereta ditahan di hadapan kedai di Ampang Utama di sini.

Menurutnya, polis yang melakukan pemeriksaan menemui empat bungkusan syabu seberat dua kilogram yang disorokkan di bawah tempat duduk belakang.

“Susulan itu polis melakukan serbuan kedua dan menahan seorang wanita warga Nigeria berusia 20-an di sebuah pangsapuri di Bukit Jalil di sini. Polis kemudian menemui lima bungkusan plastik syabu seberat 2.6 kilogram yang disembunyikan di dalam kotak pemain cakera padat.

“Polis kemudian menyerbu sebuah lagi pangsapuri di kawasan sama pada jam 4.15 petang dan berjaya merampas lima lagi bungkusan syabu. Sindiket turut dikesan menyembunyikan dadah di dalam plastik makanan ringan dengan anggaran berat keseluruhan 6.1 kilogram,” katanya.

Noor Rashid berkata, operasi kemudian diteruskan lagi sebelum seorang lelaki warga Nigeria diberkas di sebuah pangsapuri lain bersama beg galas berisi tiga bungkusan syabu seberat 718 gram.

Noor Rashid berkata, seorang lagi lelaki warga Iran yang menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah berjaya ditahan ketika berada di sebuah pusat membel-belah di ibu kota.

“Lelaki berusia 50-an ini pernah dimasukkan ke Pusat Pemulihan Dadah Simpang Renggam, Johor kerana terbabit sebagai ketua sindiket dadah warga Iran.

“Namun dia dibebaskan dan diusir dari negara ini pada tahun 2009. Bagaimanapun, pada pertengahan 2010, pihak kami mendapat maklumat suspek menyelinap masuk ke negara ini dan kembali aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah,” katanya.

Beliau berkata, tujuh suspek berusia 20 hingga 46 tahun itu kini ditahan reman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");