Laporan Eksklusif

PDRM Dicadang Anggotai Majlis Kawal Selia Umrah Elak Penipuan: Abdul Azeez

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini mencadangkan agar Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggotai majlis kawal selia umrah yang akan ditubuhkan bagi memantau pengendalian umrah di negara ini.

Katanya, pemantauan itu perlu memandangkan peningkatan kes penipuan membabitkan pengendalian umrah yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Difahamkan, penubuhan majlis itu sudah dibangkitkan dalam mesyuarat yang diadakan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan 121 jemaah umrah yang terkandas di Madinah sejak 1 Jun lalu.

Abdul Azeez yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH), berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menyenaraikan hitam syarikat pengendali umrah sebaliknya perkara itu perlu dipantau oleh kementerian terbabit bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Namun, atas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau telah mengarahkan saya untuk membantu 121 jemaah yang terkandas di Madinah.

“Dengan kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia di Makkah, kesemua jemaah ini berjaya dibawa pulang ke tanah air menggunakan pesawat Flynas.

“Setiap jemaah dibawa pulang dengan kos RM1,750 yang ditanggung sepenuhnya oleh UMNO,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan tawaran mengerjakan umrah di bawah RM4,000 seorang seperti yang ditawarkan oleh syarikat terbabit yang beroperasi di Taiping itu adalah tidak munasabah sama sekali.

Sehubungan itu, umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya berhati-hati dengan tawaran pakej umrah yang ditawarkan bawah RM4,000 bagi mengelak mereka terkandas di Tanah Suci.

Katanya, siasatan awal mendapati agensi yang membawa jemaah berkenaan dengan menawarkan pakej umrah berharga RM3,999 hanya membeli tiket penerbangan pergi tanpa menempah tiket untuk penerbangan pulang.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Azeez yang juga merangkap Ahli Parlimen Baling, berkata perkara itu akan dibangkitkan di Parlimen sebagai langkah bagi mengelakkan lebih ramai jemaah yang ingin menunaikan ibadah umrah tertipu dengan agensi yang tidak bertanggungjawab.

“Saya akan bangkitkan isu ini di Parlimen dan meminta wakil rakyat supaya menasihati umat Islam sentiasa berwaspada dengan tawaran pakej umrah yang ditawarkan dengan harga yang tidak munasabah,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, sekiranya perkara tersebut berlanjutan tanpa ada penyelesaian, ia akan memberi kesan yang buruk kepada imej negara.

“Sekiranya jemaah kita ini tidak dibawa pulang dengan segera, ia sudah pastinya akan memberikan kesan buruk kepada imej negara.

“Saya berharap semua pihak dapat mengambil iktibar daripada perkara yang terjadi ini dan jadikannya sebagai tauladan yang cukup jelas bagi mengelak perkara berulang,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");