Membawang Hari Ini

Taylor swift gegar jakarta

taylor swift

Stadium Antarabangsa Mata Elang (MEIS) di Jakarta, Indonesia digegarkan dengan jeritan serta sorakan lebih 8,000 peminat sebaik penyanyi pujaan mereka, Taylor Swift muncul di pentas.

Peminat fanatik pemenang Anugerah Grammy tujuh kali dari Amerika Syarikat itu bagaikan histeria sejurus alunan muzik lagu berjudul State Of Grace dimainkan.

Kali pertama mengadakan persembahan di Indonesia, penyanyi dan penulis lagu itu tampil menghiburkan penonton dengan tarian rancak sambil diiringi enam pemuzik serta barisan penari.

Penyanyi berusia 24 tahun itu meneruskan persembahan kedua dengan mendendang–kan lagu dari album keempatnya iaitu Holy Ground dan diikuti dengan Red. Bagi lagu itu, Swift tampil menunjukkan bakat memetik gitar berwarna merah sambil menyanyi.

Seterusnya, Swift menghiburkan penonton yang sebahagian besar adalah remaja perempuan dengan lagu berjudul Mean dan kali ini dia memetik banjo, diiringi barisan pemuziknya yang juga bermain gitar.

Kemuncak konsert bermula apabila penyanyi itu mula mendendangkan lagu hit berjudul 22 yang ditulis selepas menyambut hari jadi ke-22 bersama empat rakan baiknya.

Ketika itu, Swift muncul di pentas memperagakan baju kemeja berwarna hitam yang memaparkan tulisan ‘Jakarta’ dan dipadankan dengan seluar pendek merah.

Sebelum itu, satu rakaman video menunjukkan zaman kanak-kanak penyanyi tinggi lampai itu sehingga peringkat dewasa dipaparkan kepada penonton menerusi skrin besar di pentas.

Penonton terus terpukau menyaksikan Swift menya–nyikan lagu seterusnya secara solo dengan petikan gitar ia–itu Fifteen, Your Belong To Me serta Sparks Fly.

Konsert semakin hangat apabila penonton mula menjerit sebaik alunan muzik lagu kegemaran ramai, I Knew You Were Trouble dimainkan dan penyanyi itu kembali semula ke pentas dengan tarian rancak bersama barisan penari.

Persembahan pada malam itu dianggap tidak lengkap tanpa lagu Love Story, single yang berjaya meraih lebih lapan juta jualan di seluruh dunia menjadi pilihan seterusnya.

Selepas menghiburkan penonton selama satu jam 15 minit, konsert menutup tirai dengan lagu yang dinanti-nantikan penonton iaitu We Are Never Getting Back Together dengan persembahan berlatarkan suasana sarkas.

Terdahulu ketika persembahan, Swift berkata, dia seronok berpeluang bertemu dengan peminatnya di negara itu dan terharu melihat sambutan yang diberikan.

“Ini kali pertama saya mengadakan persembahan di Indonesia. Sebelum konsert bermula, saya sudah bertemu dengan beberapa peminat secara peribadi dan gembira berjumpa dengan mereka,” katanya.

Sesekali berinteraksi de–ngan penonton, Swift turut memberi kata-kata semangat kepada penonton berdasarkan pengalamannya.

“Sekiranya anda berasakan seperti tidak diterima orang di sekeliling pada situasi tertentu, hanya ingat, tugas anda bukan untuk membuat mereka menyukai diri anda,” katanya.

Tambah penyanyi itu, kenangan manis dan pahit seperti dibuli pelajar perempuan di sekolah dijadikan sebagai inspirasi untuk menulis lagu.

“Sering kali saya dita–nyakan mengenai penulisan lagu dan jawapan saya mudah iaitu menjadikan kenangan dilalui sebagai ilham.

“Jika bukan kerana menulis lagu, saya mungkin tidak berpeluang bertemu dengan peminat,” katanya.

Selain Malaysia, Swift turut mengadakan konsertnya di Manila, Filipina pada Jumaat lalu diikuti dengan dua persembahan di Singapura pada hari ini dan Khamis.

Penyanyi itu terpaksa membatalkan konsertnya di Bangkok, Thailand yang sepatutnya berlangsung pada hari ini berikutan krisis politik dihadapi negara berkenaan.

AIA Red Party

Tiga pemenang bertuah peraduan Real Music Never Stops Contest Taylor Swift bakal menemui idola kesayangan mereka itu secara peribadi di konsert The Red Tour yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Putra, Bukit Jalil pada Rabu ini.

Pemenang berkenaan adalah Grace Fung, Diane Ngu serta Natasha Yap dan mereka turut berpeluang mengambil gambar kenangan bersama penyanyi popular dari Amerika Syarikat itu termasuk jemputan menghadiri konsertnya.

Peraduan itu dianjurkan AIA Bhd selaku penaja utama konsert Swift di Kuala Lumpur menerusi laman sosial Facebook selepas tiket konsert penyanyi berkenaan habis dijual dan menerima lebih 1,000 penyertaan daripada peminat di seluruh negara.

Bertemakan AIA Real Music Never Stops, setiap peminat dikehendaki berkongsi gambar serta video mereka yang menampilkan makna perkataan tema itu mengikut kreativiti sendiri.

Nama ketiga-tiga pemenang itu diumumkan di parti AIA Red Countdown, Konsert Live Taylor Swift di Kuala Lumpur yang berlangsung di The Square, Publika pada Sabtu lalu.

Ratusan peminat termasuk wakil media dan kakitangan syarikat hadir dengan berpakaian merah mengikut tema konsert bagi memeriahkan majlis. Pada acara itu, peminat disolek dan mengalami sendiri pengalaman berjalan di karpet merah yang dihiasi dengan props Swift.

Kemuncak acara tiba apabila pertandingan pakaian terbaik dimenangi oleh Ashley Tay yang membawa pulang dua tiket menyaksikan AIA Real Life Now Festival 2014 dan persembahan konsert Lady Gaga, PSY serta Big Bang di Seoul, Korea pada 15 dan 16 Ogos depan. Semua kos perbelanjaan perjalanan itu ditanggung sepenuhnya oleh AIA Bhd.

Sementara itu, Tay, 19, berkata, dia teruja dan sudah tidak sabar melawat negara itu bersama ibunya nanti.

“Terima kasih kepada AIA Bhd kerana menjadikan impian saya ke Korea sebagai kenyataan. Saya akan mengajak ibu menemani ke negara itu kerana dia tidak pernah melancong ke luar negara,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd Bill Lisle berkata, pihaknya bangga dapat menjemput Swift untuk mengadakan konsert di Malaysia.

“Penyanyi itu mempunyai ramai peminat di negara ini dan selaku penaja, konsert berkenaan memberi peluang kepada golongan belia untuk berkumpul bersama AIA,” katanya.

Pada acara itu juga, seramai 10 gadis yang memperagakan pakaian Amazing Red membuat penampilan istimewa berhampiran sebuah institusi pengajian tinggi dan pusat beli-belah bagi mempromosikan pertandingan AIA’s Real Music Never Stops.

Selain itu, setiap tetamu turut diberikan cenderamata eksklusif Swift antaranya magnet dan kemeja-t sebagai hadiah.

Dalam pada itu, AIA turut bekerjasama dengan stesen radio tempatan serta syarikat penerbitan yang terpilih untuk menjayakan beberapa siri konsert mini yang dihadiri ribuan peminat yang berhasrat untuk memenangi tiket dan cenderamata eksklusif.

Selain Swift, AIA Bhd juga pernah menganjurkan beberapa konsert K-Pop di ibu negara antaranya Beast, 4Minute dan G.NA.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");