Jenayah

Berhenti kerja jaga isteri lumpuh

Cinta tiada penghujung…Hasmuddin setia menjaga isterinya yang lumpuh sejak 23 tahun lalu dengan penuh kasih sayang:-

MACHANG – Demi kasih tidak bertepi terhadap isteri, seorang pekerja kuari, Hasmuddin Derahman, 65, sanggup berhenti kerja untuk menjaga Robiah Abdullah, 59, yang terlantar akibat strok sejak 23 tahun lalu.

“Saya terimanya sebagai ujian daripada ALLAH dan saya gembira isteri tetap bersama saya biarpun keadaannya tidak seperti dulu. Saya perlu kenang, dia pernah menjadi tulang belakang dan kekuatan kepada keluarga kami sebelum dia sakit,” ujarnya.

Tambah Hasmuddin, pada peringat awal Robiah menderita sakit, kehidupan mereka sekeluarga berubah apabila isterinya tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja berat dan hanya mengengsot.

Namun, demi anak-anak yang ketika itu masih bersekolah, Robiah masih berusaha melakukan kerja-kerja rumah termasuk memasak ketika dia keluar bekerja.

“Pada masa itu, pendapatan saya sekitar RM1,500 sebulan dan mampu menampung kos perbelanjaan kami sekeluarga termasuk belanja ubat-ubatan isteri. Namun sejak Aidilfitri tahun lalu, saya terpaksa berhenti kerja apabila dia lumpuh sepenuh badan dan terpaksa bergantung kepada saya,”katanya.

“Saya hilang punca pendapatan dan bergantung kepada pemberian anak-anak, tetapi mereka ada tanggungjawab masing-masing,”katanya yang mempunyai tiga anak lelaki.

Sebelum bekerja di sebuah syarikat kuari di Gua Musang itu, dia merupakan anggota tentera selama 15 tahun.

Bercerita lebih lanjut Hasmuddin berkata, beberapa bulan lalu, dia memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Hal Ehwal Veteran bagi meringankan belanja khusus untuk Robiah kerana bukan sedikit perbelanjaan diperlukan setiap bulan apatah lagi isterinya perlu memakai lampin pakai buang dan berulang alik ke hospital.

“Alhamdulillah wang bantuan cukup untuk beli lampin pakai buang dan ubat-ubatan tambahan. Wang simpanan saya juga terpaksa digunakan sejak terpaksa berhenti kerja,”katanya.

Jika ingin membantu sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 1030250133953 atau hubungi 019-9949007.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");