Berita Hari Ini

Bersedia kita hadapi El Nino?

Jerebu akan berlaku dalam musim El Nino jika pembakaran terbuka tidak dikawal dengan baik:-

BERMULA Jun sehingga September, Malaysia dijangka mengalami musim El Nino, di mana cuaca akan panas dan kering.

Ada di antara kita yang sudah mempunyai persediaan untuk menghadapi fenomena ini, namun masih ramai yang belum menyedari ancamannya.

Kesan El Nino bukan hanya melibatkan masalah kemarau tetapi melibatkan pelbagai aspek termasuk masalah bekalan air, kesuburan tanaman dan jerebu.

Pengeluaran padi boleh terjejas

Pengeluaran padi negara boleh terjejas sekiranya fenomena El Nino berterusan dalam jangka masa panjang.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Datuk Dr Sharif Haron berkata, sekiranya fenomena berpanjangan hingga lebih dua bulan, pengeluaran padi boleh terjejas sehingga 10 peratus.

“Secara teori jika pengeluaran padi berjumlah 1.2 juta tan metrik setahun, pengurangan 10 peratus adalah bersamaan dengan 120,000 tan metrik.

“Berdasarkan rekod, ketika fenomena sama melanda negara sekitar 2009, telah menyebabkan pengeluaran padi negara berkurangan sehingga 5.7 peratus tan metrik,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Sharif, peningkatan suhu walaupun satu darjah Celsius tetap memberi kesan kepada pengurangan hasil tanaman padi iaitu antara sembilan dan 10 peratus.

Katanya, padi merupakan tanaman sensitif dan memerlukan bekalan air yang banyak bermula dari proses menanam sehingga menuai.

“Fenomena El Nino akan memberi kesan terhadap peningkatan suhu dan menyebabkan kemarau, sekali gus mengurangkan hujan yang menjadikan bekalan air turut berkurangan.

“Kekurangan air akan menyebabkan keadaan kering dan berjerebu. Keadaan berjerebu pula akan menyebabkan suhu meningkat, sekali gus menjejaskan keupayaan pokok melakukan proses fotosintesis, iaitu proses membuat makanan oleh tumbuh-tumbuhan dengan adanya cahaya matahari dan klorofil (zat hijau),” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, berbekalkan teknologi penyelidikan, Mardi sentiasa mempelbagaikan jenis padi yang tahan dengan cuaca panas selain mendirikan tiub roda di kawasan tanaman padi bagi memastikan bekalan air mencukupi.

“Selain itu perubahan jadual tanaman padi juga dapat membantu dalam memastikan bekalan padi sentiasa mencukupi,” katanya.

Namun, fenomena El Nino, dijangka tidak akan menjejaskan bekalan beras negara dan rakyat tidak perlu bimbang kerana stok simpanan beras mencukupi.

Kada, Mada diarah buat persiapan awal

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membina perigi tiub sebagai langkah awal membantu pesawah bagi menghadapi El Nino yang dijangka melanda negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, peruntukan RM15 juta dibuat bagi membina perigi itu untuk menjamin bekalan air mencukupi.

“Kita arahkan Lembaga kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan lain-lain membuat kajian di kawasan pernah terjejas oleh El Nino dan membuat persiapan asal dengan membina perigi tiub.

“Perigi tiub atau tube well ini adalah satu kaedah mendapatkan sumber bumi dan menggunakan air ke sawah-sawah bagi musim kemarau dan El Nino,” katanya.

Tajuddin berkata, pembinaan perigi tiub itu melibatkan kos RM200,000 setiap satu dan akan dibina dalam masa terdekat.

“Tidak rugi kita bina perigi tiub kerana banyak manfaat, termasuk kegunaan di sawah sekalipun kemarau atau El Nino tidak berlaku. Ia bukan pembaziran kerana masih boleh digunakan orang kampung,” katanya.

Pantau pembakaran terbuka

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pula menggesa kerajaan negeri dan kerajaan tempatan memantau kawasan yang mudah terbakar bagi mengelak pembakaran terbuka semasa fenomena El Nino.

Menterinya, Datuk Seri G Palanivel berkata, pemantauan perlu dibuat secara rapi bagi mengelak berlakunya pembakaran terbuka khususnya di kawasan yang sensitif.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya menjalankan penguatkuasaan tegas dalam usaha membanteras aktiviti pembakaran ini.

“Mana-mana individu yang berjaya ditangkap mereka akan di bawah mengikut peruntukan Akta Kuali Alam Sekeliling,” katanya.

Palanivel berkata, sebagai persediaan menghadapi fenomena El Nino, JAS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka di seluruh negara pada Februari lalu.

“Pelan tindakan ini meliputi aktiviti-aktiviti rondaan darat bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan terutamanya ke kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti mudah terbakar.

“Jadi dalam hal ini , pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab ke atas tapak pelupusan sampah supaya mengambil langkah pencegahan dan sentiasa mengawal rapi serta memastikan tapak-tapak pelupusan tidak terbakar bagi mengelakkan jerebu,” katanya.

Bomba sudah siap sedia

Jabatan Bomba dan Penyelamat sudah bersedia sepenuhnya dalam menghadapi musim panas atau El Nino yang sudah melanda negara ini sejak awal Jun lalu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menambah kekuatan anggota bagi menghadapi fenomena jini ika berlaku kes kebakaran.

“Setakat ini, kita belum lagi terima aduan kes kebakaran akibat cuaca panas. Yang kita selalu terima kes adalah dari kecuaian manusia sendiri yang membuat kebakaran terbuka hingga menyebabkan api merebak.

“Tetapi, kita tidak boleh salahkan fenomena El Nino kerana kebakaran adalah punca dari manusia dan dengan cuaca yang kering sekarang ini, jika berlaku kebakaran kecil sekalipun, ia mampu bertukar menjadi serius,” katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan sudah bersedia bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka melanda beberapa kawasan hingga Julai ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Abdul Jalil Ishak berkata, pihaknya telah membuat persediaan awal sebagaimana persediaan menghadapi musim kemarau yang teruk bermula Januari hingga April lalu.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");