Berita Hari Ini

Cadbury: Cabaran terbesar kami

KINI, kontroversi kandungan bahan tidak halal dalam coklat Cadbury yang heboh diperkatakan semakin surut, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga telah mengembalikan sijil halal kepada dua produk terlibat.

Tetapi adakah igauan ngeri syarikat pengeluar coklat itu, Mondelez Malaysia Sdn Bhd telah berakhir?

Pengarah Urusan Mondelez Malaysia, Sunil Sethi yang mengakui syarikat itu sebelum ini berada dalam tekanan berkata, mereka sentiasa yakin produk keluaran mereka adalah halal.

“Kami lega Jakim mengesahkan apa yang kami telah lama percaya, iaitu semua coklat kami yang dibuat dan dijual di Malaysia adalah halal,” katanya melalui jawapan bertulis kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Mondelez Malaysia mahu memastikan pengguna mendapat maklumat betul yang boleh digunakan untuk membuat keputusan membeli supaya pengguna tidak perlu lagi khuatir dengan khabar angin dan spekulasi.

Maklumat tepat ini juga penting demi integriti semua pengeluar makanan di Malaysia dan sijil halal, kata Sunil.

“(Kejadian ini) menjadi pengajaran kepada pihak berkuasa untuk memastikan semua keabnormalan dalam keputusan ujian mereka pada masa depan disahkan secara dalaman dahulu sebelum ia dimaklumkan secara terbuka bagi mengelakkan ia daripada menyebabkan ancaman dan tekanan kepada pengguna dan jenama (yang terlibat),” katanya.

Menyentuh mengenai kesan kontroversi itu ke atas jualan produk Cadbury, Sunil berkata, kehilangan dari segi kewangan boleh diuruskan dan dikawal tetapi kesan kepada keyakinan pengguna ialah cabaran terbesar yang dihadapi Cadbury pada waktu ini.

“Fokus kami hanyalah pengguna, untuk meyakinkan semula mereka bahawa produk buatan Malaysia kami disahkan halal dan untuk mengekalkan kepercayaan yang telah mereka berikan kepada Cadbury,” katanya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");