Laporan Eksklusif

e-baucar GST RM150 juta insentif PKS

najib bsama penerima anugerah

Baucar boleh dimanfaat naik taraf perisian perakaunan

Kuala Lumpur: SME Corp Malaysia memperuntukkan RM150 juta dalam bentuk e-baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM1,000 sebagai insentif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Baucar itu boleh dimanfaatkan untuk membeli atau menaik taraf perisian perakaunan yang mematuhi pelaksanaan GST.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan permohonan e-baucar itu dibuka semalam, berkata ia bagi memastikan peralihan kepada GST dalam kalangan PKS berjalan lancar.

“Apa yang PKS perlu lakukan ialah menghantar permohonan e-baucar secara dalam talian dan kemudian menggunakannya untuk membeli perisian daripada vendor yang dilantik.

“Saya minta PKS supaya tampil dan mengambil peluang daripada bantuan yang disediakan kerajaan demi memastikan peralihan lancar dalam pelaksanaan GST,” katanya berucap pada pembukaan Pameran Tahunan PKS (SMIDEX) 2014, di sini, semalam.

Permohonan bagi e-baucar dibuka sehingga 31 Disember dan boleh ditebus sebelum 28 Februari 2015. Kementerian Kewangan melantik 55 vendor yang menjual perisian perakaunan diperlukan oleh PKS.

Syarat layak mohon e-baucar

Tiga kriteria yang melayakkan sesebuah syarikat memohon e-baucar ialah mesti mematuhi definisi PKS yang ditetapkan oleh SME Corp, mempunyai nombor pendaftaran GST serta sekurang-kurangnya 51 peratus ekuiti syarikat dimiliki rakyat Malaysia.

Perdana Menteri berkata, Malaysia boleh mempelajari daripada 160 negara yang sudah berdepan pelbagai cabaran ketika melaksana serta memahami sistem GST.

“Kerajaan sudah memperuntukkan RM100 juta untuk melaksanakan program latihan serta kesedaran (GST) di seluruh negara melalui pelbagai saluran,” katanya.

Najib juga mengumumkan SME Corp akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menubuhkan Plat- form Dagangan Tidak Tersenarai Malaysia (MyULM) untuk membuka akses peluang pembiayaan baharu kepada PKS.

Katanya, platform itu bagi menggalakkan pertumbuhan serta pengembangan PKS melalui pasaran modal.

“Syarikat kecil berdepan cabaran memasuki pasaran modal berikutan ada banyak keperluan serta kos untuk disenaraikan. Bagi menjadikannya lebih mudah, SC pada tahun lalu mengumumkan penubuhan MyULM untuk menyediakan akses kepada modal serta maklumat yang memudahkan urus niaga,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan membelanjakan RM13 bilion untuk program pembangunan PKS tahun ini berbanding RM12 bilion tahun lalu.

“Dana ini bukan saja daripada kerajaan tetapi disumbangkan sektor swasta. Malah, hampir 50 peratus dana daripada program tahun ini dari sektor swasta,” katanya.

Pada majlis itu, Najib menyerahkan Anugerah Perdana dan wang tunai bernilai RM1 juta kepada KLSMC Stem Cells Sdn Bhd yang dipilih menjadi PKS Paling Inovatif. Sebelum itu, Perdana Menteri menyaksikan beberapa kerjasama awam-swasta melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SME Corp dan Jabatan Standard Malaysia, Padiberas Nasional Bhd dan Malaysian Debt Ventures Bhd.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");