Membawang Hari Ini

Festival Ramadan meriahkan suasana!

festival ramadhan

KEHADIRAN Ramadan sememangnya memberi 1,001 kenikmatan yang sangat besar kepada umat Islam. `

Oleh sebab itu, kedatangan bulan penuh keberkatan ini sentiasa saja dinanti-nantikan kerana segala ibadah yang dilakukan akan diberikan ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Salah satu perkara yang cukup sinonim dengan bulan seribu rahmat ini adalah kewujudan pelbagai penganjuran festival demi mengimarah serta memeriahkan suasana Ramadan.

Apa yang pasti, tujuan festival sebegini diadakan adalah untuk menyediakan lokasi alternatif kepada masyarakat dalam mempersiapkan pelbagai kelengkapan.

Tidak ketinggalan, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) yang turut berganding bahu dalam menganjurkan Festival Ramadan @ PKNS 2014.

Lebih menarik lagi, kumpulan nasyid tersohor negara, Rabbani telah dilantik menjadi peneraju dalam mempromosikan festival itu melalui Azadan Rabbani Event.

Ikuti temu bual Zass bersama ketua kumpulannya, Azadan Abd Aziz bagi bercerita lanjut mengenai perkara ini.

Boleh anda jelaskan tentang penganjuran festival ini dan bilakah ia akan berlangsung?

Mengikut konsep yang dirancang, penganjuran festival ini akan menggabungkan aktiviti keagamaan, perniagaan, pameran dan juga hiburan tetapi masih lagi bercirikan Islam.

Malah, sambutan untuk kali ini juga meliputi setiap bangunan di bawah PREC seperti Kompleks PKNS Shah Alam dan Bangi, SACC MAll serta Wisma Yakin.

Festival ini akan berlangsung selama 44 hari mulai 14 Jun lalu hingga 27 Julai depan.

Apakah objektif penganjurannya?

Matlamat kami adalah untuk mengajak orang ramai agar lebih menghayati keberkatan dan keistimewaan Ramadan menerusi konsep ibadah, riadah dan membeli-belah dalam kalangan peniaga serta pengunjung yang hadir.

Ia sekali gus dapat membantu peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjana pendapatan di samping meningkatkan amal ibadah sepanjang Ramadan ini.

Bagaimanakah penganjuran festival ini dikatakan dapat menjana pendapatan golongan PKS?

Terdapat pelbagai promosi jualan yang diadakan seperti jualan pakaian, hiasan rumah, kuih raya, makanan dan sebagainya.

Untuk tahun ini, lebih banyak tapak promosi dibuka bagi memberi lebih peluang kepada peniaga dalam menambah pendapatan sekali gus memberikan lebih kepuasan dan pilihan kepada pengunjung melalui kepelbagaian produk yang dijual.

Malah, dek permintaan dan sambutan yang sangat membanggakan, festival ini dijangka akan berterusan sehingga ke malam raya.

Justeru, bagaimana pula dengan pengisian programnya?

Untuk pengetahuan, kali ini, kami lebih mengutamakan keseragaman dan keunikan melalui aktiviti yang diisi pada setiap minggu bagi meraikan Ramadan Al-Mubarak.

Jadi, apakah aktiviti yang bakal dilakukan?

Terdapat pelbagai aktiviti dan persembahan menarik yang akan dijalankan pada setiap hujung minggu seperti persembahan nasyid dan tazkirah bersama pendakwah tersohor daripada program Imam Muda.

Barisan selebriti ternama yang bakal turut serta memeriahkan lagi sambutan festival kali ini adalah seperti Rabbani, Heliza Helmi, Raihan, hijjaz, Saujana, Nowseeheart, Salima AF dan Chef Zam. Tidak ketinggalan, kami juga menyediakan aktiviti buat kanak-kanak seperti persembahan pakaian beragam, pertandingan bercerita dan mewarna.

Adakah ia turut memberi peluang kepada badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyebarluaskan aktiviti mereka?

Tidak ketinggalan, pihak pengurusan juga memberi ruang kepada NGO seperti Aman Palestin dalam menyampaikan mesej keamanan dan kemanusiaan Gaza kepada pengunjung melalui beberapa aktiviti persembahan artis seperti Heliza Helmi dan Salima AF.

Malah, Lembaga Zakat Selangor turut sama-sama memeriahkan aktiviti pentas dengan menyediakan cenderahati buat pengunjung bertuah.

Tidak cukup setakat itu, sepanjang Ramadan ini, kami akan mengedarkan bubur lambuk pada setiap minggu kepada warga kerja dan orang awam.

Selain itu, PREC dengan kerjasama Kelab Kucing Malaysia  akan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama Anak Yatim dari Pertubuhan Kebajikan dan Kebajikan Pendidikan Cahaya Bistari pada 5 Julai ini di SACC Mall.

Harapan anda?

Harapan saya supaya pengunjung dapat membeli-belah sambil menikmati hiburan yang mendidik jiwa. Bahkan, setiap program yang dijalankan bertujuan untuk merapatkan hubungan antara sesama peniaga dengan pelanggan.

Sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai festival ini, layarilah laman sosial Facebook, Festival Ramadan PKNS 2014.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");