Berita Hari Ini

Jauhi kawasan berhampiran pantai

KUALA TERENGGANU – Sepanjang musim panas dan kering di negeri ini, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu sentiasa memantau beberapa kawasan di setiap daerah yang dikenal pasti berisiko terbakar.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, antara lokasi dikenal pasti berisiko ialah kawasan berhampiran pantai seperti di kampung Tok Jembal di daerah Kuala Terengganu.

“Lokasi berhampiran pantai yang biasanya kering pada musim panas ini akan lebih mudah terbakar sekiranya cuaca panas dan angin laut yang secara tidak langsung mempercepatkan proses kebakaran berlaku.

“Di Setiu juga kita telah kenal pasti kawasan yang sering terbakar. Jadi, kita menasihati penduduk setempat supaya menjauhi kawasan tersebut,” katanya.

Menurutnya, penduduk juga dinasihati sentiasa berhubung dengan pihak JPAM serta jabatan bomba dan penyelamat bagi memudahkan urusan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, sehingga Mei, hampir 10 kes kebakaran telah disertai anggota sukarela JPAM membabitkan seramai 44 anggota menyertai operasi memadam kebakaran melibatkan dua kes di Pulau Redang dan di Tok Kah, Dungun pada Januari.

Seterusnya, pada Februari, seramai 300 anggota JPAM dihantar bagi membantu pihak bomba memadam kebakaran di Tok Kah, Dungun secara bergilir-gilir dan pada Mac pula pihaknya mengurangkan anggota kepada 167 kerana kebakaran di situ berjaya dikawal.

“Pada April pula, seramai 38 anggota menyertai misi memadam kebakaran di kampung Tok Jembal dan Setiu, manakala pada Mei lalu 36 anggota menyertai operasi memadam kebakaran di Kuala Terengganu, Besut dan Dungun,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, antara kekangan yang dihadapi ketika operasi ialah kekurangan keperluan logistik, anggota yang menyertai pasukan secara sukarela sukar dikumpul untuk terlibat dalam sesebuah operasi, kesukaran untuk ke lokasi kejadian dan mendapatkan punca air.

“Bagaimanapun, kita akan cuba yang terbaik bagi memastikan kebakaran yang berlaku dapat dikawal dan tidak merebak,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu sebelum ini dilaporkan berkata, kebakaran hutan yang berlaku di negeri ini sejak awal tahun membabitkan keluasan hampir 1,000 hektar.

Pengarahnya, Md Salleh Sarbini berkata, kawasan paling teruk terjejas ialah Tok Kah di Dungun yang membabitkan keluasan lebih 400 hektar dan di Lembah Bidong dengan keluasan hampir 500 hektar.

Katanya, dalam tempoh Januari hingga sekarang sebanyak 2,254 kes kebakaran dilapor berlaku di Terengganu membabitkan kerugian RM8.5 juta.

Beliau berkata, angka itu agak tinggi memandangkan sepanjang tahun lepas hanya sekitar 2,800 kes dilaporkan.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");