Berita Hari Ini

Kedah Punya Hak Cadang Bina Lapangan Terbang

datuk zainal abidin

NIBONG TEBAL: Kerajaan Kedah mempunyai hak untuk mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi membina lapangan terbang antarabangsa kedua di kawasan di antara Kulim dan Sungai Petani, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman.

“Cadangan membina lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Kulim juga ada kebaikan kerana kawasan berkenaan semakin maju dan akan memudahkan penduduk di utara Semenanjung menggunakan kemudahan pengangkutan udara nanti.

“Penduduk Pulau Pinang juga akan menerima manfaat kerana pembinaan lapangan terbang antarabangsa itu berdekatan dengan negeri ini,” katanya selepas merasmikan program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak di kawasan terbuka Dewan Perda, Sungai Acheh, Ahad.

Sementara itu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri tidak akan membantah pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu asalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dinaik taraf terlebih dahulu.

Beliau mencadangkan dua landasan dibina di lapangan terbang Pulau Pinang di samping kemudahan penyelenggaraan, kemudahan bersepadu kargo udara sepenuhnya, pembaikan serta baik pulih hab aeroangkasa.

Mengenai dakwaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa Pulau Pinang mempunyai ruang tanah yang terhad tidak seperti Kedah, yang mempunyai tanah yang cukup luas untuk pembinaan lapangan terbang, Lim berkata kenyataan itu tidak benar kerana tanah di selatan lapangan terbang Pulau Pinang boleh dituntut semula.

Pada Jumaat, Lim berkata Pulau Pinang harus dibenarkan mempunyai tiga buah lapangan terbang jika cadangan Kedah diluluskan kerana Pulau Pinang mempunyai lebih banyak pelaburan langsung asing berbanding Kedah.

Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata kerajaan negeri sudah terlambat apabila mengatakan mereka mahu menuntut semula tanah untuk sambungan landasan atau untuk membina sebuah lapangan terbang baharu.

“Mereka sepatutnya berkata enam tahun yang lalu bahawa lapangan terbang baharu diperlukan, tidak selepas cadangan negeri Kedah. Ia telah dirancang sepanjang tempoh BN memerintah Pulau Pinang.

“Terdapat banyak aspek teknikal yang perlu diteliti apabila membina lapangan terbang. Adalah jelas bahawa kerajaan negeri sekarang tidak mempunyai perancangan.

“Jika ada pelan, beritahu kami di mana ia akan dibina?” katanya kepada pemberita selepas konvensyen Parti Progresif Rakyat Pulau Pinang ini.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");