Perak Hari Ini

Kemenangan BN Beri Impak Positif Kepada Pembangunan Teluk Intan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Azhar Jamaluddin, berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Teluk Intan malam tadi akan menjadi titik permulaan yang positif untuk pembangunan di kawasan tersebut.

Kejayaan itu juga katanya, membuka ruang dan peluang untuk Ahli Parlimen Teluk Intan yang baharu, Datuk Mah Siew Keong untuk menabur bakti kepada rakyat tempatan.

“Kita patut berikan peluang dan ruang kepada Mah untuk menyesuaikan diri selepas dua penggal tidak menjadi ahli parlimen.

“Namun, saya dapat rasa beliau sudah berada di hati rakyat kerana banyak perkara yang telah disesuaikan di sini,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, malam tadi.

Ujarnya, banyak perkara boleh diselesaikan di Teluk Intan selepas kemenangan berpihak kepada BN.

“Sebelum ini, banyak perkara tidak boleh dilakukan kerana kekangan tertentu tetapi apabila dipilih sebagai ahli parlimen, beliau akan mewakili Teluk Intan di peringkat Persekutuan.

“Rakyat di Teluk Intan memerlukan bantuan dan pertolongan memandangkan sudut geografi Teluk Intan sendiri yang terletak di luar bandar.

“Oleh sebab itu, saya sendiri akan berjumpa dan berbincang sendiri dengan beliau kerana banyak permohonan yang berkaitan pembangunan di kawasan Teluk Intan yang boleh diangkat di peringkat Persekutuan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pula berkata, rakyat akan dapat banyak kelebihan selepas Mah diumumkan sebagai pemenang dalam PRK Teluk Intan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sudah mengumumkan akan melantik Mah untuk berada di Kabinet jika BN menang di Teluk Intan ini.

“Jadi sudah tentu banyak manfaat yang akan diperolehi oleh rakyat Teluk Intan kerana Mah akan mewakili masyarakat setempat berikutan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri itu,” tambahnya.

Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Mah dan seluruh rakyat Teluk Intan.

“Syabas dan tahniah kepada Mah serta rakyat Teluk Intan yang telah berani melakukan perubahan untuk masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai komitmen BN selepas PRK Teluk Intan berakhir.

“Komitmen BN akan diteruskan dan apa yang dijanjikan semasa berkempen, kita akan tunaikan,” katanya lagi.

PRK Teluk Intan menyaksikan calon BN, Datuk Mah Siew Keong menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.

Mah berjaya meraih 20,157 undi manakala pencabarnya, Dyana Sofya sekadar merekodkan 19,919 undi.

PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");