Berita Hari Ini

Khazanah teliti pelan pemulihan semula MAS

azman khazanah

Kaji semua opsyen untuk tempoh enam hingga 12 bulan

Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Bhd akan mengemukakan pelan perniagaan baharu untuk memulihkan semula kedudukan Penerbangan Malaysia (MAS) dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan lagi.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata sayap pelaburan kerajaan itu sedang meneliti semua opsyen yang ada untuk menstruktur semula syarikat penerbangan negara yang sedang berdepan masalah itu.
“Semua opsyen sedang diperhatikan dan kajian mengenainya masih berjalan,” katanya pada sidang media di persidangan tahunan Invest Malaysia 2014 di sini, semalam.

Azman berkata, MAS mempunyai modal yang mencukupi untuk meneruskan kelangsungan operasinya untuk tempoh setahun lagi, namun beberapa opsyen jangka panjang sedang dinilai untuk membolehkannya terus beroperasi melangkaui tempoh itu.

“Dalam jangka terdekat iaitu 12 bulan, MAS mempunyai (modal) mencukupi untuk terus beroperasi. Opsyen yang ada sama ada untuk menjual, memfailkan kebankrapan, atau menyuntik lebih banyak dana semuanya terus dikaji.

“Pada masa dan ketika ini, adalah masih terlalu awal untuk menyatakan apakah opsyen yang akan digunakan.

“Saya merasakan keputusan akhir akan dibuat oleh kerajaan dan tugas kami ialah menasihatkan apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Khazanah ketika ini menguasai 69.4 peratus kepentingan MAS.

Usaha syarikat penerbangan itu untuk pulih daripada kerugian selama tiga tahun berturut-turut pula diburukkan lagi oleh tragedi kehilangan pesawat MH370 pada bulan Mac lalu.

Pada suku pertama tahun ini, MAS melaporkan kerugian lebih besar sebanyak RM443 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan jualan tiket selepas tragedi MH370 turut terjejas.

Tragedi MH370 beri kesan

Kehilangan pesawat MH370 yang membawa 153 warga China daripada 239 penumpangnya pada 8 Mac lalu memberikan kesan terhadap pasaran perniagaan MAS di republik itu.

Ia kehilangan sehingga 60 peratus jualan di China sejak tragedi itu.

Mengulas lanjut, Azman berkata tiga perkara perlu dinilai oleh Khazanah dalam menstruktur semula mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk MAS.

Katanya, tiga perkara itu ialah budaya dan produktiviti kerja dalaman MAS, sokongan luar daripada kerajaan dan yang ketiga ialah kepemimpinan serta pengurusan syarikat penerbangan itu untuk melaksanakan penstrukturan semula berkenaan.

“Ini satu isu yang serius, isu yang mana kami di Khazanah perlu menyeimbangkan antara sebuah institusi nasional yang penting dengan menguruskan wang pembayar cukai,” katanya.

Ditanya sama ada dana berjumlah RM5 bilion yang disuntik Khazanah ke dalam MAS sejak 10 tahun lalu digunakan secara berkesan, Azman berkata, daripada aspek kewangannya ia gagal kerana MAS terus mencatatkan kerugian.

“Namun (ia membantu) daripada aspek ekonomi dan pembangunan negara, menghubungkan rakyat serta kegiatan perdagangan,” katanya.

Saham MAS jatuh sehingga 28 peratus sejak tragedi MH370, dengan keyakinan pelabur dijejaskan oleh penurunan trafik MAS serta perkembangan tidak menentu mengenai bagaimana Khazanah dan kerajaan merancang untuk menyelamatkan syarikat itu.

MAS perlu dipecah

Nilai pasarannya menjunam 85 peratus dalam tempoh lima tahun lalu kepada RM3 bilion ketika ini.

Sementara itu, penganalisis penerbangan Maybank Investment Bank Bhd, Mohshin Aziz, berkata Khazanah Nasional perlu menyediakan pelan pemulihan secepat mungkin atau berhadapan kemungkinan situasi lebih buruk.

“Kami berpendapat MAS perlu dipecahkan kepada entiti yang lebih kecil seperti cabang kejuruteraan, Firefly, perkhidmatan terminal dan syarikat penerbangan induk. Ia tidak mungkin meneruskan kelangsungan hidupnya dalam bentuk semasa,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Seorang lagi penganalisis berkata, MAS perlu mampu bertahan sehingga Khazanah Nasional menyediakan penyelesaian bagi menstrukturkan semula syarikat penerbangan negara itu.

“Merancang satu perkara dan memulihkan syarikat penerbangan itu cerita lain pula,” katanya.

-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");