Jenayah

‘Kopi dadah’ RM2.93 juta dirampas

rampasan dadah 1

Sepang: Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggagalkan cubaan dua lelaki warga asing menyeludup dadah jenis Methamphetamine seberat 15.44 kilogram (kg) bernilai RM2.93 juta.

Dadah berkenaan ditemui cuba disembunyikan dalam bungkusan serbuk kopi dan ruang rahsia bagasi.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim, berkata lelaki masing-masing warga Uzbekistan dan Nigeria itu ditahan secara berasingan di balai ketibaan penumpang antarabangsa KLIA pada Jumaat dan Sabtu lalu.

“Kes pertama membabitkan penahanan seorang tukang masak warga Uzbekistan berusia 50 tahun pada jam 11.45 pagi, Jumaat lalu.

“Suspek yang tiba dari Tashkent dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan terhadap bagasi dibawanya menemui tujuh bungkusan serbuk kopi pelbagai jenama dan selepas dibuka, kandungannya adalah serbuk putih.

“Apabila diuji, serbuk terbabit positif dadah jenis Methamphetamine seberat 14.4kg bernilai RM2.73 juta,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini, semalam.

Sorok dalam bagasi

Dalam kes kedua, katanya, warga Nigeria berusia 36 tahun yang tiba di KLIA dari Doha pada jam 4.20 petang Sabtu lalu, ditahan selepas imbasan bagasi menunjukkan imej mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut menemui ruang rahsia di belakang bagasi yang diisi serbuk putih disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 1.042kg bernilai RM197,980.

“Kedua-dua suspek menyorok dadah dalam bagasi tetapi suspek pertama menggunakan bungkusan serbuk kopi, manakala kes kedua membabitkan ruang rahsia di belakang bagasi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.

Chik Omar tidak menolak kemungkinan suspek berkenaan adalah keldai dadah dan menggunakan tiket sebagai pelancong untuk memasuki negara ini.

Beliau berkata, Kastam KLIA merampas dadah bernilai RM43.38 juta sepanjang lima bulan pertama tahun ini, meningkat hampir 50 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM20.3 juta.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");