Jenayah

Waspada pengedaran wang palsu

wang palsu

KLUANG – Peniaga pasar malam sekitar daerah ini, dinasihatkan sentiasa berhati-hati ketika menerima wang kertas not RM10, RM50 dan RM100 daripada pelanggan, bagi mencegah penggunaan wang palsu.

Pengerusi Pasar Malam Parlimen Kluang, Mohd Salleh Rahmat berkata, fenomena pengedaran wang palsu sekitar pasar malam sejak kebelakangan ini semakin berleluasa dan perlu diambil tindakan segera.

Menurutnya, gejala itu berkemungkinan berlaku kerana ketiadaan mesin khas mengimbas ketulenan wang kertas dalam kalangan peniaga, sekali gus menjadikan lokasi berkenaan sebagai sasaran.

“Ramai peniaga pasar malam di Kluang telah ditipu pihak terbabit, namun mereka tidak berani menyuarakannya kerana takut keselamatan terancam selain merasakan bahawa ia hanya berlaku kepada segelintir peniaga sahaja.

“Jika dibiarkan, pasti akan merugikan kami sebagai peniaga. Kami berharap agar pemantauan daripada pihak polis dilaksanakan di setiap pasar malam yang ada dalam daerah ini,” katanya ketika ditemui di Pasar Malam Kampung Melayu, kelmarin.

Mohd Salleh berkata, penggunaan wang palsu itu berlaku ketika waktu kemuncak sekitar jam 6 petang hingga 8 malam kerana pelanggan paling ramai berkunjung ketika itu.

“Individu yang tidak bertanggungjawab ini akan pergi ke gerai yang menjadi tumpuan dan akan menggunakan wang palsu berkenaan.

“Pada masa itu peniaga tidak dapat mengesyakinya kerana ramai orang, yang akan menanggung rugi akhirnya adalah peniaga,” katanya.

Peniaga sata dan keropok lekor, Mohd Rabu Sujat, 45, berkata, dia sentiasa berhati-hati jika menerima wang kertas bernilai RM50 dan RM100 rentetan beberapa kejadian melibatkan rakan peniaga lain.

“Kita sememangnya tiada mesin pengimbas, tanpa rasa segan dan malu saya akan menayangkan wang tersebut ke tempat bercahaya terang untuk memastikan ia benar-benar tulen sebelum menerimanya daripada pelanggan.

“Langkah ini terpaksa diambil kerana hanya itu sahaja jalan yang ada dapat kami lakukan sebagai peniaga kecil-kecilan dengan pendapatan tidak seberapa setiap kali berniaga.

“Jika kita dapat wang palsu ini, kita sendiri yang akan mengalami kerugian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari memohon maklumat dan kerjasama peniaga bagi menangani kegiatan pengedaran wang palsu itu daripada terus berlaku.

“Jika boleh, mereka dikehendaki mengecam orang yang mengedarkan wang tersebut, pada masa sama melaporkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mereka yang menggunakan wang palsu ini jika sabit kesalahan boleh didakwa di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");