Membawang Hari Ini

Mafa: Cipta lagu beri kepuasan

mafa

Bakat yang dilahirkan menerusi program Vokal Bukan Sekadar Rupa, Mafarikha Akhir ini menyedari laluannya untuk bergelar penyanyi terkenal bukannya mudah kerana terlalu banyak saingan yang menanti peluang sama.

Justeru dia yang mesra dipanggil Mafa turut mencipta lagu andai suatu hari nanti dia mendapat kepuasan dan hasil lebih lumayan apabila bergelar komposer.

Mafa yang kini popular menerusi lagu Tolong yang juga ilhamnya sendiri, sejak April 2013 menjadi penyanyi di bawah label Alibi Music.

Dia berasakan perlu ada pengurusan yang sistematik kerana sukar bergerak sendiri kerana pada masa dia masih belajar di Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Cyberjaya dalam jurusan Media Arts.

“Sebelum lagu Tolong saya hasilkan single Derhaka, namun ia kurang mendapat perhatian stesen radio di negara ini, tetapi popular di Singapura. Saya sangat terkejut dengan perkembangan itu.

“Saya juga tidak yakin Tolong mendapat sambutan, tetapi Pengarah Urusan Alibi Music, Ferhard Ahmad mahu juga saya merakamkannya. Ternyata telahan Ferhard benar kerana lagu itu semakin popular dan diambil menjadi lagu tema drama Cerita Cinta Kita lakonan Aeril Zafrel dan isterinya, Wawa Zainal di TV3.

“Lirik Tolong bukan mengenai cinta cuma ia gambaran perasaan kita menyukai orang yang tidak sukakan kita. Saya cipta lagu itu lama sebelum saya menyertai Alibi Music dan kesukaran untuk bergerak sendiri membuatkan lagu itu terperap. Bersama dengan syarikat rakaman ini, setiap artis di bawah naungannya diberi kebebasan menyanyikan lagu sendiri asalkan ia tidak syok sendiri,” katanya.

Mafa berkata, dia sebenarnya tidak mahu meletakkan harapan tinggi dalam setiap lagu yang dirakamkan kerana bimbang kecewa dengan sambutan pendengar. Bagaimanapun, selepas lebih setahun bersama Alibi Music, kerjaya seninya berjalan dengan baik.

“Walaupun saya tidak mengharapkan bulan dan bintang, setiap lagu ciptaan saya disasarkan dapat masuk Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Industri Muzik, bukan hobi semata-mata. Biarlah lagu itu sendiri yang membuktikan sejauh mana kemampuan saya sebagai pencipta,” katanya yang selalu mendapat ilham ketika memandu.

Mafa turut mencipta lagu untuk penyanyi lain antaranya lagu Mengharap Cinta nyanyian Sharifah Zarina, malah dia memasang harapan lagunya dinyanyikan Misha Omar kerana dia meminati kelunakan suara penyanyi itu.

Selain itu, menyedari kesuraman industri hiburan Mafa tidak kisah andainya suatu hari nanti dia lebih dikenali sebagai komposer daripada penyanyi.

“Melihatkan aliran industri muzik hari ini, jadi komposer lebih senang. Buat lagu, bagi artis lain nyanyi lagu itu lebih cepat popular. Hari ini tidak sama seperti 2007 di mana peminat tidak segan menjadikan lagu Melayu sebagai nada dering telefon bimbit mereka.

Mafa ditemui pada majlis Bersama Bintang Alibi Music di Bangunan Canselori, Universiti Malaya, kelmarin bersama barisan artis lain seperti Lokman Aslam, Fresh Music Group (FMG), Ayish Mentor, Muadz, Delisha dan Andy A Merican.

Majlis itu diadakan kerana ada yang menyangka syarikat rakaman itu sudah ‘tutup kedai’.

Menurut Ferhard majlis berkonsepkan santai itu bukan saja untuk mengumumkan syarikat masih aktif, tetapi ia juga untuk memperkenalkan artis di bawah naungannya.

“Alibi Music masih ada cuma saya kecilkan syarikat dan kakitangan yang mana saya memainkan semua peranan mencari artis, mencari lagu, menilai lagu dan sebagai penerbit dengan dibantu beberapa orang untuk bahagian pengurusan dan perhubungan awam. Setiap bulan kami menerbitkan lagu baru.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu melahirkan ‘recording artist’ kerana artis jenis ini tidak boleh menyanyi ‘live’. Artis saya semua boleh cipta lagu sendiri dan boleh menyanyi secara langsung. Di bawah Alibi Music, saya tidak mengehadkan satu genre muzik saja, tetapi pelbagai seperti jazz, balada, rock, rap dan ketuhanan,” katanya.

Antara artis terdahulu yang pernah mencipta kejayaan bersama Alibi Music, Sixth Sense, The Fabolous Cat, Imran Ajmain dan Marsha Milan Londoh. Ferhard juga yang memperkenalkan artis popular Indonesia, Afghan ke negara ini.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");