Berita Hari Ini

Malaysia cadang 7 langkah kepada G77

anifah aman

KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa Kumpulan 77 (G77)  dan China supaya menstrategikan semula dan menetapkan keutamaannya selaras dengan cabaran global sedia ada dan baharu yang dihadapi negara-negara membangun.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mencadangkan tujuh langkah untuk dilaksanakan G77 termasuk memperkukuhkan kerjasama Selatan-Selatan dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Malaysia juga menggesa kumpulan itu supaya sentiasa berwaspada dan memastikan negara maju menunaikan komitmen mereka yang diikrarkan dalam pelbagai persidangan antarabangsa terutama berhubung dengan bantuan pembangunan rasmi termasuk penubuhan mekanisme berkesan bagi memantau penyaluran bantuan.

“Kegagalan mereka menunaikan ikrar sendiri telah menjejaskan dengan teruk usaha membantu negara-negara membangun dalam mencapai Matlamat Pembangunan Milenium sepenuhnya,” kata beliau pada Sidang Kemuncak Ulang Tahun Ke-50 G77 dan China di Santa Cruz, Bolivia baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama, kelmarin.

G77 ditubuhkan pada 1964 oleh 77 negara membangun yang menandatangani ‘Deklarasi Bersama 77 Negara Membangun’ yang dikeluarkan pada akhir sesi pertama Persidangan PBB Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) di Geneva.

Ia merupakan pertubuhan antara kerajaan yang terbesar dalam kalangan negara membangun PBB, dengan matlamat untuk merangsang perdagangan dan pembangunan negara-negara anggota.

Sementara itu, Anifah berkata, Malaysia yakin  kestabilan dan keselamatan antarabangsa boleh dicapai jika negara di seluruh dunia menolak ekstremisme dalam segala urusan dan sebaliknya mengamalkan kesederhanaan.

Beliau berkata ‘Keamanan dan Keselamatan melalui Kesederhanaan’ ialah tema Malaysia bagi pencalonan kerusi tidak tetap dalam Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2015-2016.

Sebagai calon tunggal untuk satu kerusi itu yang diperuntukkan kepada rantau Asia Pasifik, Anifah berharap  G77 dan China akan menyokong Malaysia pada pemilihan itu di New York, Oktober depan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");