Jenayah

Motosikal dicuri ‘pengail’ tabung masjid

tabung masjid

KUALA TERENGGANU – Bukan sahaja nyaris cedera akibat diserang semasa dalam usaha membantu menangkap lelaki yang cuba mencuri duit tabung masjid, malah seorang pemuda terpaksa menanggung kerugian apabila motosikal Honda Wave miliknya dilarikan penjenayah terbabit.

Kejadian tragis itu berlaku kira-kira jam 5.30 pagi, berhampiran Masjid Kampung Kubang Ikan, Chendering, di sini, Isnin lalu.

Mangsa, Abdul Halim Abdul Ghani, 28, berkata, sebelum insiden itu, dia bersama empat lagi rakan sekampungnya sedang menyaksikan perlawanan bola di sebuah kedai makan berhampiran masjid berkenaan.

“Sedang kami asyik menonton perlawanan bola, secara tiba-tiba bilal masjid datang ke kedai memaklumkan ada orang sedang ambil duit dari tabung masjid.

“Ketika berbincang untuk mengambil langkah selanjutnya, kami ternampak seorang lelaki tak dikenali melarikan diri dari pintu belakang masjid dan kami bertindak mengejarnya,” katanya.

Rampas motosikal

Abdul Halim berkata, menyedari dirinya dikejar, lelaki itu merampas sebuah motosikal dinaiki seorang penduduk kampung yang ketika itu dalam perjalanan ke masjid sama untuk menunaikan solat Subuh.

“Terkejut dengan tindakan suspek, saya nekad mengejarnya dengan menunggang motosikal sementara rakan lain pula mengejar dengan Perodua Myvi.

“Rakan yang memandu Perodua Myvi  nekad melanggar suspek dari arah belakang bagi menghalangnya melarikan diri,” katanya.

Kata Abdul Halim, lelaki itu kemudiannya bertindak mengayun parang ketika dia dan rakan lain cuba memberkasnya.

Bimbang dicederakan Abdul Halim dan rakannya menjauhkan diri daripada lelaki tersebut.

Katanya lagi, peluang itu digunakan lelaki berkenaan untuk melarikan diri ke arah Jalan Permint Jaya, Chendering, di sini, dengan merampas motosikal miliknya.

Dia kemudiannya membuat satu laporan di Balai Polis Chendering.

Nampak kelibat manusia meniarap

Sementara itu, bilal masjid berkenaan, Che Ku Ahmad Che Ku Jaafar, 54, berkata, lebih kurang jam 5 pagi sejurus tiba di masjid untuk membuka lampu, dia ternampak kelibat susuk tubuh manusia sedang meniarap di sebelah tabung dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik sahaja lampu dibuka, suspek melarikan diri ke arah ruang solat wanita.

“Saya cuba mengejarnya, tapi suspek lari begitu pantas sebelum hilang menyebabkan saya minta tolong lima pemuda kampung yang ketika itu berada di kedai berhampiran sedang menonton perlawanan bola,” katanya.

Che Ku Ahmad berkata, kejadian sama juga pernah berlaku sebelum ini.

“Mujur saya tiba tepat pada masanya, jika tidak tentu lebih banyak wang berjaya dilarikan suspek terbabit,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");