Membawang Hari Ini

Pascakahwin Misha Omar

PENYANYI Misha Omar mempunyai seribu satu alasan untuk berasa gembira saat ini. Berakhir episod duka yang melingkari hidup Misha selepas kehilangan bapa tersayang Omar Ismail, pada 30 November tahun lalu. Kini Misha kini melewati fasa bahagia sebagai isteri kepada juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS), Firos Ezzwan Rossly, 32.

Lebih sebulan melayari rumah tangga setelah diakad nikah pada 2 Mei lalu, bukan sedikit tetapi banyak perubahan yang berlaku dalam hidup pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta itu.

Hidup Misha berubah secara total apabila kini dia tidak lagi bertindak seorang diri membuat keputusan, sebaliknya harus berdua bersama Firos, dan itu perkara yang perlu disesuaikan Misha.

Namun, kerana sudah terbiasa hidup bersendirian, Misha mengakui pernah berdosa membelakangkan suami selepas majlis resepsinya tamat.

“Dulu saya terlalu berdikari. Buat ikut kata hati. Sekarang kalau Firos tidak bekerja, dia akan tanya balik pukul berapa. Pernah berlaku satu insiden selepas majlis resepsi kami di hotel, suami bawa anak-anak saudara pergi mandi di kolam renang.

“Saya tidak berminat untuk turut serta dan bertindak balik ke rumah ibu yang kebetulan dekat dengan hotel kami menginap. Sudahnya, di pertengahan jalan suami telefon tanya saya di mana. Saya beritahu mahu balik ke rumah ibu dan mungkin akan balik semula ke hotel selepas makan malam.

“Sebenarnya demi Allah saya tidak masukkan dia dalam perancangan untuk menikmati makan malam bersama. Bodoh betul,” ujar Misha sambil ketawa yang mengakui membuat keputusan sendiri tanpa menyedari hakikat dirinya ketika itu sudah menjadi isteri orang.

Mengendurkan ketawa yang masih bersisa, Misha memberitahu, jangan terlalu mengharapkan perkara-perkara manis dalam rumah tangga, sebaliknya menikmati hidup berdua dengan seadanya tetapi bahagia.

Tidak mengimpikan destinasi bulan madu bersama suami, Misha sedar jadual suaminya yang padat dan kesukaran lelaki itu untuk mengambil cuti yang panjang.

“Kami belum sempat berbulan madu lagi. Selepas majlis resepsi, saya mengalami batuk dan demam selama dua minggu. Suami pula kena bekerja semula. Masa suami hendak minta cuti kahwinpun sampai tiga kali dia kena mohon baru lulus.

“Jadi, macam mana hendak cuti pergi berbulan madu? Saya tidak menyimpan impian untuk ke mana-mana kerana kalau tidak jadi, saya juga yang berasa sedih,” ungkap Misha ketika ditemui pada majlis pelancaran tabloid baharu, Insta terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) baru-baru ini.

Lincah di dapur

Kesukaran untuk disatukan bersama suami juga membuatkan Misha tidak mengharap lebih dalam rumah tangganya melainkan hidup bahagia bersama suami tercinta.

“Memanglah kita tidak senyum setiap hari. Memanglah kita tidak ketawa setiap masa tetapi kita bersyukur dengan hubungan suami isteri yang dirancang Allah ini,” ungkapnya lagi mengenai kebahagiaan yang beraja di hatinya buat masa ini.

Jika dulu Misha mengakui tidak lincah di dapur, kini dia terpaksa ligat demi menyediakan hidangan buat suaminya.

Menyediakan hidangan nasi lemak buat Firos, luah Misha, suaminya telah mengkritik hidangan tersebut. Namun, sebagai isteri dia tidak ambil hati kerana baginya dia harus menyediakan hidangan yang disukai suaminya.

“Dia cakap ini komen ikhlas daripada abang. Kalau orang lain mungkin suka dengan nasi lemak ini, abang lagi suka kalau nasi lemak ini jadi begini.

“Saya terima komen dia sebab sudah tentu kita mahu hidangkan apa yang terbaik dan disukai olehnya,” tutur Misha.

Bicara tentang anak pula, Misha mengakui tidak merancang dan meletak sebarang sasaran. Cepat atau lambat, ulas Misha, semuanya terletak di tangan Allah. Sama juga dengan soal jodohnya yang ditentukan Allah di usia 32 tahun.

“Saya serahkan semuanya kepada Allah. Saya kahwin pada usia 32 tahun. Saya ada kawan yang berkahwin pada usia 24 tahun. Kami berkongsi banyak perkara. Memang ada orang yang dikurniakan cepat cahaya mata dan ada juga yang lambat. Saya tidak mahu meletakkan tekanan dan saya tidak mahu perkara lambat itu membebankan diri saya,” luahnya.

Suami manja

Walaupun hidup berdua, itu tidak bermakna Misha tidak memberi ruang kepada suaminya untuk bersendirian. Perkara itu dilakukan Misha tatkala suaminya bekerja dan bercuti ke luar negara.

“Dari zaman bercinta sampai berkahwin, saya bukan jenis orang yang kerap menghubungi pasangan. Suami akan bekerja ke luar negara seperti ke Melbourne, Australia. Dia akan tinggal di sana selama tiga atau empat hari.

“Bagi saya cukup sekadar saya tahu dia selamat mendarat dan sampai ke destinasi yang dituju. Selepas itu, saya akan biarkan dia berehat dan bersendirian. Saya juga suka begitu, tidak suka terlalu berkepit dengan pasangan. Namun, itu tidak bermakna saya tidak sayangkan dia,” ujar Misha.

Bagaimanapun, kata Misha, selepas berkahwin suaminya menjadi lebih ‘manja’.

Menjelaskan lebih lanjut erti manja yang dimaksudkan, Misha memberitahu, selepas berkahwin, Firos sentiasa mahu Misha menghantar dan menjemputnya di lapangan terbang.

Perkara manis yang pernah dilakukan Firos kepada Misha apabila suaminya itu menghantarkan kiriman WhatsApp memberitahu sunyi makan bersendirian tanpa Misha di sisi ketika bekerja di luar negara.

Masih menyewa di Kota Damansara, Misha mengakui bakal berpindah ke rumah baharu di Cheras, Kuala Lumpur, tidak lama lagi bersama suami dan juga anak angkatnya, Muhammad Adam Emir, 7.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");