Isu Panas

Pekerja TNB Tolak Kerjasama Dengan YTL

KUALA LUMPUR 16 Jun – Kesatuan dan Persatuan Sekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) menentang sekeras-keras sebarang bentuk kerjasama dengan YTL Power International (YTL Power) dalam projek pembinaan loji janakuasa di Pasir Gudang, Johor.

Presiden Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah Tenaga Nasional Berhad (KPPRTNB), Mohd. Roszeli Majid berkata, sebarang kerjasama dengan YTL Power akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban kenaikan tarif elektrik pada masa yang akan datang.

“Apabila berlaku perkara ini, kita yakin rakyat di negara ini akan menerima mudarat apabila bil elektrik akan dinaikkan kelak kerana kita jangan lupa YTL merupakan peneraju dalam penjanaan tenaga elektrik.

“Mereka mengawal penjanaan kuasa di negara ini dan akan menaikkan tarif yang tidak memihak kepada menyebabkan TNB terpaksa menaikkan tarif elektrik dan akhirnya ia akan memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Pejabat Kesatuan dan Persatuan Sekerja TNB di Jalan Faraday di sini sebelum mengetuai kira-kira 300 pekerja berarak ke Ibu Pejabat TNB bagi menyerahkan memorandum bantahan kerjasama dengan Syarikat YTL Power.

Roszeli menjelaskan, kerjasama sebelum ini bersama YTL juga telah menyebabkan TNB menghadapi pelbagai masalah di dalam pengurusan sistem pengagihan elektrik di Malaysia.

Katanya, kelebihan kepada YTL ini juga akan menyebabkan IPP lain akan turut sama mengikut contoh daripada YTL dan menyebabkan IPP bebas yang menguasai sistem janaan kuasa di negara ini.

“Masalah utama, ialah sejarah sejak kita bekerjasama dengan YTL, pelbagai masalah timbul antaranya melibatkan penyelegaraan selain bayaran yang tidak memihak TNB dan ianya sedikit sebanyak memberi kesan kepada pekerja.

“Kalau perkara ini diteruskan akan berlaku impak yang berterusan, IPP lain akan mengambil perkara yang dilakukan YTL sebagai contoh sebab itu fokus utama kita untuk menolak YTL yang merupakan IPP pertama menandatangani perjanjian dengan TNB.

“IPP menguasai majoriti daripada sistem penjanaan tenaga di Malaysia, dan mereka menjual dengan mahal di mana kita boleh menjana dengan lebih murah jadi kenapa kita perlu terus biarkan mereka menguasai penjanaan kuasa,” ujarnya.

Sebelum ini, TNB dalam kenyataan di Bursa Malaysia berkata, Suruhanjaya Tenaga mengemukakan surat tawaran penganugerahan bersyarat bagi membangunkan projek pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan 1,000 sehingga 1,400 MegaWatt (MW) atau Projek 4Ayang dijadualkan beroperasi pada Jun 2018 melibatkan syarikat konsortium antara YTL Power, SIPP Energy Sdn. Bhd. (SIPP Energy) dan TNB.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");