Membawang Hari Ini

Kolaborasi Ramli Ibrahim dan MPO!

ramli

PEMINAT tarian klasikal India, pastinya mengenali Datuk Ramli Ibrahim. Masakan tidak, figura ini adalah satu-satunya lelaki Melayu-Islam yang mengamalkan tarian budaya asing.

Lulusan kejuruteraan dari University of Western Australia ini jelas memperlihatkan minat dan bakatnya terhadap tarian klasik sejak muda.

Biarpun seni tari yang menjadi sebahagian daripada dirinya itu sering kali dilihat sebagai janggal, namun pada usianya yang kini mencecah 61 tahun, Ramli telah mengabdikan diri lebih 35 tahun kepada seni tarian klasikal India.

Begitu pun, pencapaian anak kelahiran Kajang ini sebagai seorang penari tarian ballet, moden dan klasik India serta pereka tari yang berbakat bukan suatu perjalanan mudah.

Namun, berkat ketabahan dan keazaman Ramli akhirnya membuahkan hasil apabila mendapat pengiktirafan tertinggi daripada Akademi Kebangsaan Muzik, Tarian dan Drama India menerusi Anugerah Akademi Sangeet Natak 2011 sekali gus membina pencapaian membanggakan bagi seorang rakyat Malaysia.

Lebih bermakna lagi, anugerah itu disampaikan sendiri oleh Presiden India, Pranab Kumar Mukerjee di Delhi.

Terbaru, pesona tarian Ramli bersama-sama Maestro Tari dapat dilihat menerusi kolaborasi terunggul gabungan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC pada 21 dan 22 Jun ini.

Bagi bercerita lanjut, ikuti temu bual Zass dengan Pengerusi Sutra Dance Theatre ini.

Boleh ceritakan dengan lebih lanjut mengenai konsert ini?

Konsert ini adalah konsert sulung saya di DFP secara besar-besaran. Untuk menjayakan konsert ini, perancangan selama setahun setengah diperlukan. Bertemakan Quintessence: Ramli Ibrahim and the MPO.

Semua konsert ini bakal dipimpin oleh konduktor kelahiran Brazil, Fabio Mechetti, iaitu antara konduktor hebat di Amerika Syarikat.

Konsert ini bakal menyaksikan keunggulan MPO yang melangkaui pelbagai genre muzik; dari klasikal barat ke runut bunyi filem, irama tradisional, pop, jazz dan kontemporari.

Dalam konsert ini, bagaimanakah pula bentuk persembahan anda? Adakah anda akan terus membawakan tarian klasikal India?

Saya tidak akan membuat persembahan tarian klasikal India tetapi saya akan menggunakan bahan-bahan tarian juga daripada tradisi Asia termasuklah tarian klasik India.

Saya ada banyak pengalaman di Indonesia dan India. Ini adalah pertembungan dua tamadun. Jadi, dalam kandungan tarian ini, saya menggunakan ciri-ciri pergerakan termasuk pergerakan-pergerakan yang terdapat di tradisi Asia.

Saya sebaliknya akan buat tarian kontemporari moden.

Dalam konsert ini, berapa banyak tarian yang akan anda persembahkan?

Saya dan penari-penari lain bakal mengiringi tiga karya agung iaitu karya Debussy, Prelude to the Afternoon of a Faun, The Firebird Suite (Stravinsky) dan Sheherazade (Ravel). Karya-karya ini mewakili jalinan romantika dan pertemuan elemen eksotik dalam kedua-dua nuansa tarian dan muzik.

Bagi persembahan Sheherazade, saya menampilkan artis soprano Yi Liang Chaing.

Perkara apakah yang paling merisaukan anda ketika menari?

Kecederaan. Pada masa ini, saya ada mengalami masalah kecederaan di lutut. Ini menyebabkan saya perlu lebih berhati-hati. Bagi saya, masalah ini terjadi bukan kerana faktor umur semata-mata. Lagi pun, masalah seperti ini juga boleh melanda kepada penari-penari muda yang lain.

Berapa lamakah pengalaman yang diperlukan untuk bergelar seorang penari yang benar-benar berjaya?

Pengalaman itu sepanjang masa. Kita tidak boleh mengukurnya dengan masa. Bahkan, kita tidak boleh mengisytiharkannya dengan pembelajaran dan sijil kelayakan yang ada. Bagi saya, itu adalah permulaannya dan kita mahukan ia sentiasa berlanjutan.

Apabila sudah mencapai ke satu tahap yang berjaya, kita sendiri juga tidak akan perasan sebaliknya ia akan disedari oleh individu yang berada di sekeliling kita. Apa yang kita lakukan adalah, teruskan matlamat dan hala tuju kita untuk menjadi penari yang berjaya suatu hari nanti.

Boleh ceritakan pengalaman manis atau pahit anda sepanjang bergelar seorang penari?

Pengalaman terlalu banyak. Ada yang manis, kelakar dan merisaukan. Kenangan terindah adalah semasa menjelajah ke benua India dengan menaiki kereta api bersama-sama krew untuk tempoh sebulan setengah. Persembahan di India banyak dibuat di tempat-tempat arkeologi yang sangat bersejarah. Ia benar-benar mengagumkan saya.

Di kala usia 61 tahun, adakah anda bersedia untuk menurunkan ilmu?

Saya bukan saja seorang penari tetapi juga seorang guru tari. Saya adalah pengerusi Sutra Dance Theater. Saya akui ramai pelajar. Sukar untuk mencari pelajar yang mempunyai kebolehan dan intelektual pada masa yang sama.

Ini kerana, seseorang yang kreatif itu bukan saja hanya melibatkan tarian. Kini, bagi menguasai tarian dalam tempoh sekejap pun sudah boleh mahir. Tetapi apakah yang ada di dalamnya? Adakah kita boleh mengeluarkannya dalam satu ekspresi sekali gus bakal memberikan keputusan yang cemerlang. Apa yang penting adalah meneruskan apa saja yang dimahukan dalam hidup.

Pendapat anda mengenai kelahiran bakat-bakat baru dalam bidang ini?

Saya masih berada dalam bidang ini kerana minat yang mendalam di samping percaya ‘anda wujudkan dunia dan persekitaran anda sendiri’.

Saya lihat, kelahiran bakat baru ramai yang cemerlang sebagai penari, tetapi bukan sebagai koreografer. Jadi koreografer perlu memberi tumpuan sepenuhnya jangan sesekali meninggalkan latihan.

Saya mengakui agak tegas dengan penari pelatih yang berumur 12 hingga 13 tahun, di mana mereka lebih bijak dan kita perlu mengasah bakat mereka. Malah, ada penari pelatih yang takut dengan saya.

Ditanya bagaimana beliau mahu dikenangi, Ramli berkata:

Bagaimanakah ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai konsert ini?

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai konsert ini, bolehlah melawat laman web rasmi www.mpo.com.my atau laman sosial Facebook di fb.mpo.com.my. Bagi mereka yang ingin menempah tiket pula, bolehlah e-mel kepada [email protected] atau menghubungi 03-20517007.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");