Perak Hari Ini

Pelbagaikan Fungsi Masjid: Sultan Nazrin Shah

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah fungsi masjid seharusnya dipelbagaikan agar tidak tertumpu sebagai pusat ibadah sahaja.

Titah baginda lagi, masjid bukan sahaja dijadikan tempat untuk menyebarkan syiar Islam malah sebagai lokasi menganjurkan pelbagai aktiviti.

“Masjid berfungsi sebagai institusi asas lagi utama untuk mendukung peranan mengembangkan syiar Islam.

“Masjid tidak sekadar pusat untuk melakukan ibadah solat, malah masjid telah dan hendaklah terus berfungsi sebagai pusat pengembangan ilmu, budaya dan turut berperanan sebagai pusat membangunkan masyarakat,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah demikian sempena Majlis Perasmian Masjid Daerah Batu Gajah, petang tadi.

Baginda bertitah lagi, masjid juga memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat.

“Masjid hendaklah terus berperanan sebagai tapak semaian mencanai minda berilmu dan membina sahsiah insan solihin,” titahnya lagi.

Baginda bertitah lagi, peranan masjid untuk mengembangkan tamadun Islam juga perlu dikekalkan.

“Masjid telah pernah dan hendaklah terus berupaya menjana tamadun Islam yang agung,” titah Sultan Nazrin Shah lagi.

Terdahulu, Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan masjid tersebut yang diberi nama Masjid Toh Puan Besar Hatijah yang terletak di tengah pekan Batu Gajah.

Baginda turut melahirkan rasa sebak ketika menceritakan berkenaan pembinaan masjid itu yang diilhamkan sendiri oleh ayahandanya, Almarhum Sultan Azlan Shah.

Baginda bertitah lagi agar masjid yang dibina semula itu dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.

“Semoga segala usaha Almarhum Sultan Azlan Shah membangunkan semula rumah Allah ini akan diberikan setinggi-tinggi ganjaran oleh Allah SWT.

“Semoga usaha Almarhum membangunkan kemudahan fizikal ini akan disambut baik dan dilengkapi oleh ahli-ahli qariah dengan menganjurkan pelbagai aktiviti agar masjid ini menjadi masjid yang hidup yakni diimarahkan setiap masa dan sepanjang waktu,” titah baginda lagi.

Masjid tersebut merupakan bangunan pertama yang dirasmikan oleh Sultan Nazrin sejak baginda ditabalkan sebagai Sultan Perak.

Perkara tersebut telah diwasiatkan oleh Almarhum Sultan Azlan Shah agar masjid tersebut dirasmikan sempena Ramadhan 1435 Hijrah dan majlis berbuka puasa pertama Sultan Perak bersama rakyat pada tahun ini hendaklah diadakan di masjid tersebut.

Masjid tersebut telah mula dibina semula dan kerja pembinaan bermula pada 9 Oktober 2008 selepas dititahkan oleh Almarhum Sultan Azlan Shah pada akhir tahun 2006.

Masjid tersebut diberi nama Masjid Toh Puan Besar Hatijah sebagai lambang satu pengabdian penghargaan seorang putera kepada seorang bonda.

Sementara itu, sebagai tanda pengabdian ingatan kasih sayang Almarhum Sultan Azlan kepada kekandanya, Almarhum berkenan menamakan dewan serbaguna yang terdapat di masjid tersebut sebagai Dewan Raja Baharum Baha’uddin Shah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");