Berita Hari Ini

Pembinaan KLIA2 pencapaian terbaik Malaysia

aziz kaprawi 1

KUALA LUMPUR – Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) merupakan pencapaian terbaik bagi Malaysia di arena global, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, ini kerana kos pembinaan KLIA2 paling murah iaitu RM3.92 bilion dan disiapkan dalam tempoh yang cepat iaitu empat tahun berbanding lapangan terbang antarabangsa yang lain.

Beliau berkata kos pembinaan untuk setiap orang di KLIA2 ialah RM89 berbanding Lapangan Terbang Jerman (RM478), Terminal 5, Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London (RM717), dan yang paling mahal sehingga hari ini ialah Terminal 4, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura (RM2,096).

“Dalam soal masa penyiapan projek ini, KLIA2 juga yang paling cepat dalam dunia. Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Thailand mengambil masa 4.75 tahun untuk siap, Lapangan Terbang Berlin Brandenburg, Jerman (sudah hampir tujuh tahun dan masih belum siap), Terminal 5 Heathrow dan Lapangan Terbang Hong Kong, masing-masing mengambil masa enam tahun,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu).

Abdul Aziz ingin tahu sama ada kerajaan terlalu bercita-cita tinggi meletakkan harga dan masa yang munasabah sehingga dilihat projek KLIA2 gagal menepati masa.

Kepada soalan asal Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam), Abd Aziz menerangkan bahawa kos terperinci bagi pembinaan KLIA2 mengikut pecahan utama, iaitu bagi pembinaan terminal, landasan dan infrastruktur berkaitan, nilai kontrak yang diberikan oleh pihak MAHB ialah RM3.38 bilion.

“Perincian kos bagi pakej-pakej utama ialah bangunan Terminal KLIA2 diberikan kepada UEM-Bina Puri JV dengan nilai kontrak sebanyak RM1.14 bilion, pembinaan (landasan)Runway3 dan sistem (laluan pesawat) taxiway oleh KUB Berhad (RM247 juta), Aircraft stands (parkit) oleh Nippon Road (M), Bayangan Sepadu Sdn Bhd, Norangkasa\ Enterprise Sdn Bhd; dan Award Consortium Sdn Bhd-Swa Water (Malaysia) Sdn Bhd JV (RM543 juta),” katanya.

Chee Keong ingin tahu secara terperinci pelbagai kos untuk pembinaan klia2 serta syarikat-syarikat kontraktor dan subkontrak yang terlibat serta nilai kontrak setiap syarikat.

Abd Aziz berkata kerja tanah untuk bangunan terminal, apron dan Runway 3 bernilai RM524 juta, kos pembinaan infrastruktur dan utiliti (RM222 juta) dan Parallel Taxiway ke Runway 2 dan Cross Taxiway bernilai kontrak RM161 juta.

“Bagi pembinaan aset-aset kerjaaan yang berkaitan dengan pengoperasian KLIA2, jumlah kos yang ditanggung oleh MAHB adalah sebanyak RM582 juta (termasuk pembinaan jalan penyelenggaran tambahan, pemindahan kerja utiliti dan bayaran konsultan bagi aset-aset kerajaan,” katanya.

Aset-aset ini merupakan menara kawalan beserta peralatannya berharga RM174 juta, dan pembinaan penghubung jalan untuk kemudahan awam (RM294 juta), katanya, sambil menambah kos bayaran pakar runding dan kos-kos lain adalah sebanyak RM114 juta. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");