Jenayah

Penguatkuasaan zon baru, nelayan sukar cari makan

nelayan

ALOR SETAR – Kira-kira 1,000 nelayan kelas B dan C  di Kuala Kedah tidak dapat turun ke laut berikutan penguatkuasaan pengezonan semula kawasan tangkapan ikan bermula semalam.

Pengerusi Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah, Toh Sang Chai berkata, sebelum ini bot pukat tunda Zon B dibenarkan menangkap ikan di kawasan sejauh lima batu nautika berbanding kawasan baharu lapan batu nautika.

Bot  zon C pula dikehendaki menangkap ikan di kawasan melebihi 15 batu nautika berbanding sebelum ini hanya 12 batu nautika.

Beliau berkata, arahan itu menyebabkan bot zon B yang ada tidak mampu untuk mengharungi kawasan sejauh itu kerana keadaan bot dan kelengkapan tidak sesuai.

“Bot zon B  bersaiz kecil dan menggunakan enjin berkuasa rendah. Nelayan tidak mampu mengharungi perairan sejauh lapan batu nautika yang lebih berisiko untuk keselamatan mereka.

“Sebanyak 170 bot zon B yang ada sudah melebih 15 tahun manakala tujuh peratus yang mempunyai kelengkapan moden untuk beroperasi di kawasan tengah laut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berharap agensi terlibat khususnya jabatan perikanan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berbincang dengan nelayan sebelum menguatkuasakan peraturan itu.

“Kami bukan membantah apa yang dilakukan oleh kerajaan sebaliknya mohon diberi peluang dan melihat sendiri masalah yang dihadapi nelayan.

“Jika nelayan turun juga ke laut dengan bot sedia ada, siapa yang akan bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka yang sudah lanjut usia,” katanya.

Sang Chai juga mendakwa pemilik bot diberikan notis dalam tempoh singkat oleh jabatan perikanan menyebabkan mereka tidak dapat membuat persediaan untuk melaksanakan peraturan baru iaitu 24 Mac lalu.

“Kami harap proses pengezonan semula hanya dikuatkuasakan beberapa tahun akan datang agar nelayan lebih bersedia seperti membesarkan bot, enjin dan peralatan,” katanya.

Sementara itu, nelayan, Ramli Man, 55, berkata, pengezonan baharu itu seperti menutup periuk nasinya dan rakan lain kerana tidak dapat turun menangkap ikan.

“Kami tidak dapat turun seperti kerana bimbang dikenakan tindakan undang-undang. Kalau mahu ke kawasan lapan batu nautika pastinya luar kemampuan kami” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");