Perak Hari Ini

Perak Kaji Cara Mudah Salur Bantuan Skim Insurans Takaful Tabarru : Rusnah

Oleh Norsadrina Ismail:-

Kerajaan Perak sedang berusaha mencari kaedah terbaik bagi memudahkan prosedur penyaluran bantuan Skim Insurans Takaful Tabarru untuk waris yang layak menerimanya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Rusnah Kassim, pemberian bantuan berkenaan diperuntukkan kepada waris warga emas berusia 60 ke atas dan pesara kakitangan kerajaan.

Jelasnya lagi, berkuat-kuasa bulan Mei yang lepas, waris penerima yang layak bagi menerima skim berkenaan tidak perlu lagi membuat pendaftaran pemohonan seperti dahulu.

“Jika berlaku kematian, waris hanya perlu menyatakan surat kematian, dan bukti dari JKM, Baitulmal dan kad pesara bagi bekas kakitangan kerajaan.

“Sebelum ini, bagi mendapatkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal, waris pesara kerajaan perlu mengisi borang pemohonan tersebut untuk ditapis bagi memperoleh bantuan kewangan sebanyak RM1,000,” katanya.

Beliau berkata demikian sejurus menyerahkan sumbangan Skim Insurans Takaful Tabarru kepada balu ASP Mior Fahim Ahmad, yang ditemui mati selepas hilang ketika mandi di air terjun Sungai Tungku, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun di Gerik, baru-baru ini.

Katanya lagi, kaedah tersebut telah dipermudahkan namun bagi penerima warga emas serta kakitangan tentera yang masih berkhidmat, mereka masih perlu lagi mengunakan kaedah pendaftaran.

“Kita masih mencari kaedah yang bersesuaian bagi menyalurkan bantuan skim ini kepada kakitangan yang masih berkhidmat agar jika berlaku kematian, bantuan dapat disalurkan secepat mungkin,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, menurut Nor Anidah, pemergian arwah suaminya itu amat dirasai oleh seluruh keluarga terutama sekali bagi kedua-dua anak perempuannya.

“Tiap-tiap malam mereka meragam minta perhatian dan sering bertanya.. sekarang saya banyak lebihkan masa dengan mereka,” katanya.

ASP Mior Fahim Ahmad meninggalkan seorang isteri, Nor Anidah Ahmad Nawawi, 41 dan 7 orang anak, sulung berusia 15 tahun manakala bongsu berumur 2 tahun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");