Sukan Hari Ini

Piala Thomas 2014: Permulaan Yang Baik Untuk BAM

Penantian dan harapan kira-kira 29 juta rakyat Malaysia untuk menyaksikan Piala Thomas dibawa pulang ke negara ini berkecai apabila pasukan negara tewas kepada Jepun pada pentas akhir di New Delhi, India pada 25 Mei lalu.

Selepas 22 tahun menanti detik bersejarah beraksi di pentas akhir, Malaysia dilihat mempunyai peluang lebih cerah untuk menewaskan Jepun yang sebelum itu berjaya menundukkan China dengan kiraan mata 3-0.

Namun, dalam pertarungan yang memakan masa enam jam itu, pasukan Jepun berjaya mengatasi Malaysia dengan kiraan mata 3-2.

Dek tewas kepada pasukan Jepun yang melakar sejarah pertama kerana memenangi Piala Thomas, banyak pihak menyifatkan kekalahan pasukan negara itu tidak boleh dimaafkan oleh rakyat Malaysia.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohamad Norza Zakaria, bagaimanapun menyifatkan kekalahan pasukan negara kepada Jepun pada final Piala Thomas sebagai kekalahan yang bermaruah.

Pertarungan yang berlangsung lebih enam jam itu katanya, disertai dengan semangat pemain yang cukup tinggi untuk bermain hingga ke mata terakhir.

Tidak dinafikan, penantian selama 22 tahun untuk membawa pulang Piala Thomas ke Malaysia merupakan satu penyeksaan bagi semua pihak termasuklah kira-kira 29 juta rakyat negara ini, katanya lagi.

Mengulas alasan kelemahan mental pemain negara dalam saingan akhir Piala Thomas menentang pasukan Jepun, Mohamad Norza menegaskan, pada awalnya, tiada harapan tinggi contohnya diberi kepada Liew Daren untuk membawa Malaysia beraksi di pentas akhir.

Selain itu, pasukan Piala Thomas negara juga kelihatan masih tercari-cari pasangan regu terbaik, katanya.

Semua pemain tegasnya, menunjukkan semangat juang dan ketahanan mental yang kuat sebelum itu apabila berjaya menewaskan pasukan Korea Selatan, Denmark dan Indonesia.

Pengurusan baru BAM yang baru berumur 10 bulan katanya, akan meneruskan legasi untuk mencari pemain bagi menggantikan Lee Chong Wei.

“Berdasarkan apa yang kita ada, pencapaian pasukan Piala Thomas adalah bertaraf lima bintang kerana dapat beraksi menentang Jepun dan berjuang hingga ke mata yang terakhir.

“Jika kita mempunyai pasukan yang seimbang, mungkin kekalahan pasukan negara itu tidak boleh dimaafkan,” katanya dalam rancangan Soal Jawab di TV3, malam tadi.

Mohamad Norza yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara, berkata walaupun tewas kepada Jepun, ia merupakan satu permulaan yang baik untuk Malaysia terus mengorak langkah melahirkan pemain bertaraf dunia seperti Chong Wei.

“Kita perlu meneruskan usaha untuk mencari jawapan kepada pengganti Chong Wei kerana ia berlaku satu dalam tempoh 10 tahun,” tegasnya lagi.

Mengulas mengenai dakwaan BAM memeram pemain muda, Mohamad Norza menjelaskan pihaknya ingin merapatkan jurang pemain pelapis dengan pemain negara yang sedia ada.

Ketika ini, BAM mengenalpasti kira-kira 50 pemain pelapis dengan tambahan 70 lagi pemain di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang sentiasa diberi pendedahan bagi meningkatkan kedudukan atau ranking mereka.

“Kita mempunyai bakat dan pelapis tetapi BAM ingin mencari perbezaan dengan melihat dalam bidang sains sukan agar pemain dapat didedahkan dengan teknologi baru seperti video sukan sebagai persediaan menjadi pemain bertaraf dunia,” katanya lagi.

Untuk mencungkil lebih ramai bakat baru di seluruh negara pula, BAM katanya, ingin melatih 200 bakat baru berumur antara 13-18 tahun yang akan ditempatkan di sebuah bangunan setinggi tujuh tingkat di Bukit Jalil.

Usaha itu katanya, akan dilakukan dengan kerjasama pihak sekolah, persatuan atau kelab yang perlu bertindak agresif untuk melahirkan lebih ramai pemain seperti Chong Wei.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");