Berita Hari Ini

PM: Peranan DO perlu ‘ditokok tambah’

najib 8

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pegawai daerah perlu ‘menokok tambah’ peranan masing-masing di samping tugas tradisional sebagai pentadbir untuk memberikan khidmat yang lebih relevan dan berkesan dalam konteks semasa.

Perdana menteri berkata pegawai daerah perlu mampu melakukan tambah nilai itu menerusi penglibatan diri dengan rakyat dan semua pihak untuk merasai denyut nadi mereka.

Beliau berkata, pegawai daerah tidak boleh menggangap dirinya ‘besar’ sebaliknya perlu meletakkan diri sebagai pemimpin, pemudah cara, rakan kongsi, pemimpin setempat dan sentiasa bersama rakyat setiap masa.

“Sebagai pegawai pentadbir, kita perlu menghayati apa sebenar kehendak dan isi hati rakyat. Jangan kita lihat berdasarkan kehendak yang datang dari Kuala Lumpur atau pun ibu negeri sahaja,” katanya pada Persidangan Pegawai-pegawai Daerah 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Persidangan bertemakan ‘Pegawai Daerah Pemacu Transformasi Luar Bandar’ itu menghimpunkan semua pentadbir di peringkat negeri dan daerah.

Najib turut menyarankan para pegawai daerah agar tidak terlalu ego sebaliknya kena turun padang dan memahami masalah rakyat.

“Jangan terlalu menjaga kedudukan, bagaikan ular menyusur akar
tidak akan hilang bisanya,” katanya.

Perdana menteri berkata peranan pegawai daerah, termasuk residen, akan
melalui proses evolusi berikutan tugas yang lebih mencabar dan peranan yang luas skopnya.

“Sebagai pentadbir, kita bukan lagi duduk di dalam pejabat dan belakang
meja menguruskan pentadbiran, menerima arahan dari peringkat negeri dan pusat serta melaksanakan arahan-arahan tersebut. Kalau kita kekal sebagai hanya pentadbir biasa, kita tak mungkin menjadi seorang pegawai daerah yang berkesan dalam menghadapi cabaran kini,” tegas beliau.

Najib berkata, jika pegawai daerah mampu menyerlahkan kepimpinan berkesan, mereka akan berupaya menjadi pemimpin yang dekat di hati rakyat dan disayangi rakyat.

“Kita kena dekat dengan rakyat untuk memahami cita rasa rakyat, apa dalam minda rakyat, apa yang menjadi hambatan rakyat,” katanya, sambil menambah pandangan di lapangan boleh disalurkan kepada setiausaha kerajaan negeri, menteri besar dan jabatan-jabatan kerajaan.

Najib turut menasihatkan pegawai daerah untuk bangkit melebihi parti politik dalam membela dan mendahulukan kepentingan rakyat.

Beliau mahukan pegawai daerah memahami isu semasa termasuk pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan dasar kerajaan untuk diterjemah dalam perancangan pembangunan daerah.

Perdana menteri berkata penjelasan sebenar penting untuk memastikan rakyat memahami bahawa GST bertujuan untuk menambah hasil negara bagi manfaat rakyat dalam perancangan pembangunan, khususnya di luar bandar.

“Apabila hasil negara bertambah, pembanguan luar bandar dapat diperhebat seperti pembinaan jalan kampung, bekalan air, membaik pulih rumah panjang agar dapat mengimbangi kemajuan bandar dan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata pegawai daerah perlu menggunakan kebijaksanaan untuk mengendalikan isu-isu sensitif rakyat seperti soal tanah adat dan permohonan tanah berkelompok kerana ia bukan soal yang boleh dipandang ringan.

Beliau berkata pegawai daerah perlu memberi nasihat kepada rakyat berkaitan hal-hal pemberian tanah.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata apa yang dinyatakan perdana menteri itu perlu diberi perhatian oleh semua pegawai daerah.

Ia bagi memastikan peranan lebih efektif mereka dalam menjadikan rakyat keutamaan, katanya.

Justeru itu beliau berkata persidangan pegawai daerah kali ini dapat dijadikan landasan terbaik untuk berbincang dalam usaha memperkasa peranan mereka, Persidangan sehari anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA), KKLW itu bertujuan memberi maklumat mengenai pelaksanaan program pembangunan untuk masyarakat luar bandar bagi tahun ini.

Ia merupakan medium utama untuk membincangkan isu semasa dan pemasalahan pelaksanaan program pembangunan luar bandar di samping dapat meningkatkan jalinan kerjasama antara KKLW, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah dan Residen seluruh negara. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");