Berita Hari Ini

‘Rakyat, pemerintah bersatu’

agung

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah bertitah mahu semua rakyat berganding bahu dan bersatu tenaga dengan pihak pemerintah supaya segala yang dirancang dan dicita-citakan menjadi kenyataan.

Seri Paduka bertitah tidak ada mana-mana negara dalam dunia ini yang mampu mencapai kemajuan dan mencipta nama hanya dengan bergantung kepada inisiatif pemerintah dan pentadbir tanpa sokongan warganya.

“Tanggungjawab mempertahan, membangun dan mendaulatkan negara yang bertuah ini terletak di bahu setiap warganya.

Beta percaya dengan sokongan padu dan kerjasama erat antara pemimpin dan rakyat, pelbagai kejayaan akan terus dilakar oleh negara pada masa depan,” titahnya.

Seri Paduka bertitah demikian pada istiadat menghadap dan pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena hari ulang tahun keputeraan Seri Paduka di Istana Negara di sini, semalam.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah turut menghulurkan salam takziah kepada seluruh kerabat diraja dan rakyat Perak di atas kemangkatan Sultan Azlan Shah dan berdoa semoga Allah memberi ketenangan, ketabahan dan kekuatan kepada kerabat diraja Perak.

Seri Paduka berdua turut mendoakan ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 supaya diberi kekuatan dalam menghadapi situasi yang sukar.

Seri Paduka bertitah bahawa baginda menghargai dan berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha dalam operasi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia itu.

Pupuk sikap menghormati Baginda turut bertitah mengenai kepentingan untuk kembali kepada landasan sebenar asas penubuhan negara seperti yang dihasratkan pemimpin terdahulu.

Titah baginda, semua rakyat berbilang kaum di negara ini perlu mengukuhkan perpaduan dengan memupuk perasaan hormatmenghormati dan kesederhanaan dalam menjalani kehidupan.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");