Membawang Hari Ini

Ribbit menang Filem Keluarga Terbaik

ribbit

Filem animasi 3D, Ribbit terbitan Kartun Studios Sdn Bhd masih belum ditayangkan tetapi sudah melakar sejarah baharu apabila diangkat sebagai Filem Keluarga Terbaik semasa tayangan perdana dunia di Festival Filem Bersepadu Niagara (NIFF) di Kanada, minggu lalu.

Filem sentuhan Chuck Powers dengan kerjasama Crest Animation Studios Limited yang berpangkalan di Mumbai, India itu dihasilkan sejak tiga tahun lalu, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 September ini.

Sangat membanggakan

Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, berkata filem animasi Ribbit dibawa terbang ke Kanada bagi memenuhi undangan Tayangan Perdana Dunia sempena penganjuran NIFF yang berlangsung pada minggu, manakala malam penganugerahannya pada malam Sabtu minggu lalu.

“Ketua Pegawai Kreatif merangkap pengarah filem Ribbit, Chuck Powers mewakili Kartun Studio Sdn Bhd (anak syarikat KRU’S Studios) menerima trofi bagi anugerah itu di Kanada.

“Ini satu pengiktirafan sangat membanggakan, apatah ia anugerah pertama diraih pada peringkat antarabangsa dan di luar negara Asia. Sebelum ini, ada juga antara produk seni dihasilkan Kumpulan Syarikat KRU menerima anugerah dari beberapa negara Asia seperti Singapura dan Hong Kong.

“Kami sudah berkecimpung dalam perniagaan industri hiburan sejak tahun 1992. Bagaimanapun, kami sedar cara terbaik untuk menembusi pasaran global menerusi filem animasi dan program TV. Bagi filem Ribbit yang dikeluarkan dalam dua versi iaitu bahasa Inggeris dan Melayu, kami mengumpulkan bakat hebat di rantau ini,” katanya.

Krisis si katak

Ribbit mengetengahkan katak sebagai watak utama. Katak bernama Ribbit ini berdepan dengan krisis identiti dan hidup bersama keluarga haiwan lain di hutan Amazon. Ia tidak suka melompat dan tidak menggemari air seperti katak lain.

Berasakan dirinya tidak serasi dengan komuniti di sekeliling, Ribbit mencari identiti dirinya yang sebenar, menerusi pengembaraan yang disertai seekor tupai yang boleh terbang.

Tayangan filem itu serentak dengan filem Ribbit versi bahasa Melayu yang berjudul Ribbit – Bila Si Katak Dah Tersalah Lompat.

Ribbit mendapat perhatian antarabangsa apabila produsernya gigih mengatur strategi pemasaran di luar negara sejak dua tahun lalu. Ia menyaksikan lebih 80 negara termasuk United Kingdom, Russia, Jerman, Australia, Turki dan Korea Selatan.

Ribbit versi Inggeris menampilkan suara beberapa bintang ternama Hollywood seperti Sean Austin yang pernah membintangi filem Lord of the Rings sebagai Ribbit; Tim Curry (The Hunt for Red October, Home Alone 2: Lost in New York, The Three Musketeers, The Shadow) memegang watak Terence, manakala pelawak terkenal, Russel Peters sebagai Deepak.

Selain itu, filem yang menelan belanja RM10 juta itu menampilkan Cherami Leigh (Sandy), Amelia Henderson (Marcella), Elza Irdalynna (Luciano, Rafa), Sonny Franks (Kai, Ollie), Christina Orow (Jojo), Kenny Dowle (Spider), Valentine Cawley (Witch Doctor) dan Heidi Schunover (Princess).

Bagi Ribbit versi bahasa Melayu yang diarahkan sutradara terkenal, Mamat Khalid pula, ia menggunakan suara Johan Raja Lawak (Ribbit), Elfira Loy (Siti), Awie (Kulup), Datuk Aznil Nawawi (Mat Rompi), Misya The Glam Girls (Misya), Alia The Glam Girls (Alia), Yati (Yati The Glam Girls (Yati), Adam AF (Balan), Jihan Muse (Milah), Munir Phyne Ballers (Ollie), Izzue Islam (Labah Labah), One Forteen (Dukun Istana) dan Noorisnainy Ali (Puteri).

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");