Membawang Hari Ini

Sparrow King mengharap sinar

sparrow king

Berhasrat untuk memasuki industri arus perdana, sebuah lagi band dinamakan Sparrow King menyimpan cita-cita untuk menembusi gawang peminat tempatan.

Istimewanya, band itu bukanlah baru dalam bidang muzik, bahkan lima anggotanya boleh dikatakan cukup berpengalaman, namun masih mencari ruang.

Biasalah dalam industri tempatan, boleh dikatakan terlalu banyak yang bagus apabila bercakap mengenai muzik. Bagaimanapun, sudah biasa jika semua bakat itu memilih untuk sekadar aktif di kelab misalnya tanpa mengharap dapat masuk arus perdana.

Begitulah juga dengan kumpulan ini yang diang­gotai Faez, Ahmad, Badli­shah, Lan dan Faizal. Menurut penyanyi utamanya Faez, mereka berlima bergabung pun selepas lama berkawan dan merasakan sudah tiba masanya cuba melangkah lebih jauh.

Hakikatnya, masing-masing ada kumpulan sendiri sebelum ini. Tetapi, kerana saling memahami antara satu sama lain maka tertubuhlah Sparrow King.

“Kalau ikutkan kami aktif dengan kumpulan masing-masing, namun memandangkan keserasian yang ada pada kami berlima membuatkan kami yakin menubuhkan Sparrow King.

“Sudah lebih 10 tahun bersahabat dan pada masa lapang ‘jamming’ bersama-sama meskipun ada yang terikat dengan kerja tetap seperti bermain di kelab dan gigs,” katanya.

Ditubuhkan awal tahun ini, Faez yang sering terbabit dalam pelbagai persembahan termasuk pementasan teater terdetik mahu mencuba masuk industri dengan harapan ada sinar buat Sparrow King.

Bagaimanapun, bukan dengan tangan kosong mereka hadir dalam industri dengan dua single berjudul Jengkudi dan Intripetasi.

Sempat melihat persembahan mereka baru-baru ini di Hard Rock Cafe (HRC), Kuala Lumpur, tidak dinafikan dari segi permainan muzik, band ini perlu diberikan kredit. Bahkan, mendengar dua lagu itu yang agak berbunyi komersial disadur elemen rock mencetuskan persoalan bagaimanakah hala tuju muzik band itu.

“Kami mahu mengekalkan genre rock kerana itulah muzik yang sering kami mainkan,” jawab Faiz ringkas.

Dalam pada itu, Sparrow King bakal tampil sebagai artis pembuka tirai kepada showcase Ratu Rock Malaysia, Ella pada 22 Jun ini di HRC. Bakal menyanyikan beberapa lagu, mereka berbesar hati dapat berkongsi pentas dengan Ella.

“Ia adalah persembahan besar kami. Di samping menghiburkan penonton sebahagian hasil tiket jualan kelak akan disalurkan ke Yayasan Kanser Malaysia dan kepuasan buat kami kerana bukan saja berkongsi muzik namun pada masa sama dapat beramal,” kata Faez menutup perbualan.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");