Membawang Hari Ini

Ibu Ajak nyaris dicederakan perompak

BELUM reda ketegangan melibatkan pelakon terkenal, Fasha Sandha yang terpaksa membuat laporan polis apabila dua pembantu rumahnya didapati mencuri wang suaminya, Rizal Ashram di kediaman mereka di Duta Suria, Ampang pada 12 Mac lalu.

Kini timbul pula kes kecurian melibatkan keluarga pelakon dan pelawak terkenal, Ajak Shiro atau nama sebenarnya, Mohd. Haniffa Razak, 28, yang terpaksa berhadapan dengan perompak yang mencuri sebahagian daripada peralatan kenduri pertunangan adiknya.

Ajak yang bertindak nekad mengejar sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut peralatan itu bagaimanapun gagal menangkap pencuri tersebut.

Ikuti temu bual Ajak yang menceritakan kepada Kosmo! dengan lebih terperinci tentang detik cemas yang dialaminya itu bersama ibunya, Rosiah Othman.

Kosmo!: Bolehkah Ajak ceritakan bagaimana anda menyedari kejadian tersebut?

AJAK: Kejadian berlaku seawal pukul 9 pagi. Ibu saya yang kebetulan berada di dapur tiba-tiba ternampak kelibat seorang lelaki sedang sibuk mengangkut peralatan termasuk periuk dan belanga. Barangan tersebut sebenarnya kami sewa untuk majlis pertunangan adik saya yang telah berlangsung sehari sebelumnya.

Kejadian tersebut telah mengejutkan saya dan tanpa berlengah lagi, saya terus bertindak mengejar pencuri tersebut.

Apakah yang membuatkan anda berang dengan kejadian itu dan bertindak mengejar pencuri tersebut?

Sejujurnya saya tidak marah dengan apa yang berlaku, cuma saya sangat terkilan apabila pencuri itu bertindak memarahi ibu saya dan cuba mencederakannya.

Apakah susulan daripada kejadian tersebut?

Saya mengejar pencuri tersebut sehingga ke dalam sebuah kawasan ladang kelapa sawit tetapi dia berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan lori yang memuatkan barangan yang dicuri tersebut.

Tanpa berlengah, saya terus ke Balai Polis Kulai, Johor untuk membuat laporan polis. Menurut pihak polis, potensi untuk berjaya menangkap pencuri itu adalah tinggi disebabkan kad pengenalannya berada di dalam lori yang ditinggalkannya itu.

Ada berlaku sebarang kemalangan jiwa dan kerugian dalam kejadian itu?

Peralatan yang dicuri berjaya diperoleh kembali kerana semuanya ada di dalam lori tersebut dan saya sangat bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa melibatkan keluarga saya berlaku pada masa kejadian. Namun, saya sangat risaukan ibu saya kerana kemungkinan dia mengalami trauma berikutan kejadian tersebut.

Menurut sumber, anda sepatutnya hadir ke majlis pratonton filem Suatu Malam Kubur Berasap 2 di Kuala Lumpur pada hari kejadian?

Ya, saya sepatutnya bertolak dari kampung saya di Johor ke Kuala Lumpur pada pagi tersebut. Pada kesempatan ini saya memohon berbanyak maaf kepada semua pihak yang terlibat dalam majlis pratonton tersebut. Bagaimanapun, saya telah awal-awal lagi memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak penganjur dan produksi dan ia merupakan suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan.

Adakah tindakan anda itu betul dan apakah pengajaran yang didapati daripada kejadian tersebut?

Saya berharap ia mampu menjadi suatu pengajaran kepada semua dan membuka mata pihak berkuasa bahawa kejadian curi, terutamanya di Johor semakin meningkat dan saya juga sangat terkejut apabila pencuri tanpa sebarang perasaan takut bertindak melakukan jenayah di siang hari tanpa sebarang pemantauan daripada pihak berkuasa.

Apakah perkembangan terkini anda sekarang?

Saya kini baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie Mujibur Mari bersama rakan seperjuangan, Shahrol Shiro dan kini dalam rangka promosi filem terbaharu, Suatu Malam Kubur Berasap 2.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");