Laporan Eksklusif

‘Ayah’ pergi buat selama-lamanya – anak saudara ketua pramugara MH17

PUTRAJAYA: “Ibu mimpi datang ke sebuah majlis besar yang dipenuhi orang ramai tapi ibu kata dia hairan mengapa ayah tiada pada majlis itu,” kata anak saudara Ketua Pramugara pesawat MH17, Mastura Mohtar, 17.

Beliau berkata ibu saudaranya tersedar daripada mimpi setelah dikejutkan oleh jiran mengenai tragedi menimpa suaminya itu dan tidak menyangka apa yang dimimpikan itu sebenarnya petanda bahawa bapa saudaranya, Mohd Ghafar Abu Bakar, 54, akan pergi buat selamanya.

Mastura yang memanggil emak saudaranya, Normi dengan panggilan ibu manakala Ghafar dengan panggilan ayah, menggambarkan bahawa keperibadian Ghafar yang sangat peramah dan disenangi ramai.

Malah beliau menyifatkan keperibadian yang dimiliki oleh bapa saudaranya itu begitu sempurna.

“Kali terakhir ibu menerima panggilan dari ayah sebelum beliau berlepas dan ayah memaklumkan dia akan pulang hari ini (semalam) dan ibu menerima panggilan itu dengan cukup gembira sekali.

“Kami sekeluarga masih terkejut dengan insiden yang berlaku…malah kami semua ternanti-nanti kepulangan ayah kerana tahun ini kami berniat untuk beraya sakan tetapi ternyata semua itu hanyalah angan-angan.

“Ayah terlalu baik orangnya..dia seorang penyayang, penyabar dan sangat lembut. Bila datang ke rumahnya rasa tenang saja..kenapa dia perlu pergi sekarang?” katanya kepada BH ketika ditemui di rumah arwah Ghafar, di sini, hari ini.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");