Perak Hari Ini

DS Zambry Arah Pejabat SUK Kenalpasti Identiti Mangsa Tragedi MH17

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengarahkan Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri (SUK) dan jabatan berwajib mengenalpasti identiti mangsa tragedi pesawat MH17 terhempas yang berasal dari Perak sebelum menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mereka.

Setakat ini, beliau katanya, belum mendapat maklumat lengkap mengenai perkara itu walaupun difahamkan ada mangsa yang terkorban itu berasal dari Perak.

“Saya belum mendapat maklumat mengenai perkara ini dan kita sudah minta Pejabat SUK dan jabatan berkaitan mengenalpasti mangsa dan keluarga mereka.

“Apabila kita sudah mendapat maklumat yang dikehendaki, maka lebih mudah untuk menyusun langkah dan tindakan seterusnya.

“Ini termasuklah bentuk bantuan yang kita rasakan perlu bagi membantu keluarga mangsa.

“Kita akan fikir dulu dan bantuan ini perlu selaras dengan ketetapan di peringkat Pusat,” katanya.

Terdahulu, Zambry menghadiri program berbuka puasa bersama JK 4 peringkat UMNO Perak yang berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh, lewat petang tadi.

Tegas Zambry, beliau juga difahamkan pembantu juruterbang pesawat MH17 itu berasal dari Perak.

Sementara itu, kerajaan negeri katanya, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam tragedi yang menggemparkan seluruh dunia itu.

Tragedi itu tambahnya, cukup menyedihkan dan tidak seharusnya berlaku terhadap pesawat awam.

“Peristiwa ini tidak seharusnya berlaku dan bayangkan sebuah pesawat awam ditembak jatuh yang menunjukkan ia satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tidak bertamadun,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");