Berita Hari Ini

Bekalan Aidilfitri dijamin cukup

pasar tani

JOHOR BAHRU – Pasar tani di negeri ini akan menyediakan 17,350 bekalan ayam daging segar dan ayam kampung serta 161 lembu bagi menampung keperluan pengguna pada Aidilfitri ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri, Faridulatrash Md Mokri berkata, pihaknya turut menyediakan 2.7 tan metrik kacang panjang, 1.8 tan metrik cili merah, 2.7 tan metrik kobis bulat dan 9,010 kelapa parut bagi memenuhi keperluan komoditi sayur.

“Secara purata jumlah bekalan ini adalah 10 peratus lebih tinggi berbanding bekalan yang disediakan ketika Aidilfitri tahun lalu.

“Kita yakin bekalan ini mampu menampung jumlah keperluan pengguna,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Pasar Tani Khas Menjelang Aidilfitri di Pasar Tani Mega Larkin di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamad dan Timbalan Pengarah Fama Negeri, Mohd Sharizan Mansur.

Selain itu katanya, Pasar Tani Khas Menjelang Aidilfitri yang dilancarkan itu membabitkan 650 peserta yang terdiri daripada kumpulan petani, penternak, nelayan dan usahawan asas tani.

“Program ini memberi peluang kepada orang ramai memperoleh bekalan pelbagai keperluan dengan harga lebih murah.

“Misalnya harga syiling bagi sekilo ayam adalah RM7.70, tetapi di pasar tani dijual pada harga RM7.40 hingga RM7.50,” katanya.

Faridulatrash berkata, pasar tani khas itu akan diadakan di 18 pasar utama di Johor dan empat daripadanya bakal beroperasi selama dua hari pada 26 dan 27 Julai iaitu di Larkin, Pontian, Kota Tinggi dan Bukit Gambir, Muar.

“Manakala pasar tani lain akan mengadakan jualan khas sempena Aidilfitri selama satu hari iaitu pada 26 Julai bermula dari jam 7 pagi hingga 1 petang.

“Antara lokasi lain pasar tani khas termasuk di Pasir Gudang, Endau, Bandar Tenggara, Dewan Jubli Segamat, Bandar Baru Uda, Kulaijaya, Mersing, Stadium Muar, Bukit Pasir dan Taman Yayasan Segamat,” katanya.

Pada majlis sama, Ismail turut melancarkan Tabung Gaza anjuran Fama bagi mengumpul dana untuk membantu mangsa peperangan di Palestin.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");