Membawang Hari Ini

Dulu berdua, kini bertiga

beego

Tahun sebelumnya, mereka hanya me-nyambut Aidilfitri berdua. Tahun ini lebih bermakna buat pasangan Beego dan Linda Hashim apabila meraikan Aidilfitri bersama anak sulung, Jelita Clarissa yang lahir pada 24 April lalu. Tentunya bayi comel yang kini berusia tiga bulan menjadi hadiah terbaik buat mereka yang berkahwin pada 7 Jun tahun lalu.

“Aidilfitri lalu, kami balik kampung Beego di Johor terlebih dulu sebelum pulang ke Gopeng, Perak untuk beraya di kampung saya pula. Tahun ini arah giliran bertukar pula.

“Sebenarnya kami bercadang adakan majlis bercukur jambul Jelita di Johor pada hari raya kelima. Bagaimanapun, ada pula masalah, jadi kami terpaksa menangguhkannya sehingga Oktober ini,” kata Linda.

Menurutnya, kehadiran Jelita di kampung amat ditunggu-tunggu sanak-saudaranya kerana mereka belum pernah bertemunya sejak dilahirkan.

“Linda berpantang di Kuala Lumpur dan kami belum pernah bawa Jelita balik Gopeng. Cuma, hanya sekali saya bawa dia balik Johor ke rumah mentua. Itupun balik sekejap dan mereka kata tak puas nak bermain dengannya. Di Perak pula, dia akan bertemu nenek di sebelah ayah dan saudara- mara lain.

“Jelita adalah ahli paling kecil dalam keluarga saya. Kami akan bawa dia jumpa semua orang dan kutip duit raya,” kata Linda sambil ketawa.

Linda mengakui berdepan masalah mencari saiz pakaian yang sesuai untuk Jelita. Ini mencetuskan idea buatnya untuk menghasilkan pakaian sendiri untuk bayi kesayangannya.

“Memandangkan dia masih kecil, memanglah susah nak cari pakaian yang sesuai dengan fizikalnya. Akhirnya saya beli kain dan jahit sendiri pakaian Jelita. Saya dan Beego sememangnya kenakan pakaian sedondon. Saya lebih suka tempah dan ‘design’ sendiri pakaian daripada beli di kedai kerana nanti orang lain pun akan pakai pakaian serupa.

“Untuk diri sendiri, saya sediakan lima pasang baju manakala Beego pula lima pasang. Kami kena sediakan banyak baju kerana nanti akan dipakai untuk majlis rumah terbuka. Apabila hadir ke majlis sebegitu sudah tentu kami jadi tumpuan media,” katanya.

Seperti Linda, Beego juga sukar menggambarkan kegembiraan yang dilaluinya. Dia mengakui teruja menjalani kehidupan baru sebagai ayah.

“Sekarang saya dah tak fikir lagi persiapan untuk diri sendiri dan lebihkan untuk anak. Saya akui dulu obses nak beli persiapan untuk diri sendiri, tapi sekarang semuanya sudah lain. Saya gembira apabila Jelita gembira. Kesempatan ketika beraya ini juga saya gunakan dengan merapatkan Jelita dengan sepupunya,” katanya.

Kata Linda, sebaik lepas berpantang, dia mula dihujani tawaran berlakon drama. Dia sukar menerima tawaran itu kerana Jelita masih kecil dan memerlukan perhatian rapi.

“Kalau nak berlakon pun kenalah tunggu Jelita besar sikit kerana dia menyusu badan. Sekiranya ada tawaran untuk buat program kecil, saya akan terima. Untuk berlakon drama memang belum masanya. Tak dinafikan belum habis pantang lagi penerbit dah tawarkan saya berlakon.

“Tapi saya tolak kerana tak sesuai nak bawa Jelita ke lokasi. Mungkin apabila usianya enam bulan, barulah saya akan kembali berlakon. Buat masa ini, biarlah saya jaga dia dulu. Saya akui buat masa ini hanya mengharapkan Beego sendirian mencari rezeki.

“Insya-Allah saya dalam perancangan untuk buat bisnes selepas ini dan mungkin jual pakaian rekaan sendiri,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");