Membawang Hari Ini

Jamal cari kelainan

jamal abdillah

Popularitinya tidak pernah pudar walaupun sudah 34 tahun dalam industri seni tanah air, namun Raja Pop Datuk Jamal Abdillah mengakui bimbang peminat akan bosan kerana kerap membuat kemunculan.

Bagi memastikan peminatnya sentiasa terhibur, penyanyi berusia 55 tahun itu mendedahkan menggunakan konsep pakaian serta penyampaian lagu berbeza di setiap persembahan.

Menariknya, beliau mereka pakaian persembahan sendiri yang kemudiannya dihantar ke tukang jahit untuk disiapkan kerana ingin menampilkan kelainan.

“Perkara yang paling membimbangkan dalam karier adalah persembahan tidak mendapat sambutan dan peminat menjadi jemu melihat saya.

“Bagi mengelak perkara seperti itu berlaku, saya perlu mencari kelainan bagi setiap persembahan. Kadang-kadang letih juga memikirkan konsep seterusnya terutama apabila banyak mendapat tawaran,” katanya.

Menurut Jamal, kelainan itu antara rahsia kejayaan karier nyanyiannya yang membuatkan beliau menerima banyak undangan untuk mengadakan persembahan.

“Bukan saya tak mahu mengupah pereka untuk membuat pakaian tetapi merasakan fesyen sekarang hampir sama dan saya mahu nampak ada nilai eksklusif.

“Selain mengurus pakaian sendiri, saya juga menyusun lagu mengikut kesesuaian tema,” katanya.

Mengenai perkembangan karier, Jamal berkata, dia bakal menghasilkan album baru yang mengumpul lagu lama dan baru termasuk satu lagu duet bersama penyanyi Indonesia, Melly Goeslaw.

“Buat masa ini, saya mahu fokus dengan persiapan persembahan di Istana Budaya. Pada Ogos depan barulah mengumpul bahan untuk album baru pada September. Album ini akan muatkan beberapa lagu solo, duet serta lagu lama yang diberi nafas baru,” tambahnya.

Berkongsi sedikit mengenai sambutan Ramadan, penyanyi itu mahu mengambil kesempatan berpuasa untuk mengurangkan rokok serta mengamalkan pemakanan sihat.

“Saya ada masalah resdung, jadi perlu sentiasa menjaga kesihatan dan tidak boleh makan belacan. Malah, pada Ramadan setiap tahun, saya tiada hidangan istimewa ketika berbuka puasa dan memilih masakan ringkas seperti hari biasa,” jelasnya.

Sementara itu, Jamal bakal membuat kemunculan bersama penyanyi popular Indonesia, Endang S Taurina pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Kebajikan Persona Selangor dan Kuala Lumpur (PERSONA) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 19 Julai ini.

Selepas Aidilfitri, beliau akan mengadakan konsert yang juga menyaksikan penampilan Eddy Silitonga di Istana Budaya Kuala Lumpur pada 27 hingga 31 Ogos depan

Pada Mac tahun depan pula, Jamal akan bekerjasama dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) untuk mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP).

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");