Berita Hari Ini

KPDNKK jamin bekalan minyak masak cukup

kpdnkk

BUTTERWORTH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan bekalan minyak masak adalah mencukupi di seluruh negara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan bahan mentah itu mencukupi untuk kegunaan pada hari raya nanti.

“KPDNKK juga ada menambah 10 peratus lagi bekalan minyak masak kepada pemborong sebagai persediaan sempena musim perayaan ini.

Waktu mula-mula Ramadan dulu ada belian panik itu yang tidak cukup tetapi masalah dapat diatasi dan bekalan adalah mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pemborong Ban Chuan Huat Sdn Bhd di sini hari ini.

Sementara itu dalam lawatannya ke Pasar Awam Bagan Ajam pagi tadi beliau mahu kerjasama orang ramai untuk membuat pemantauan harga bagi 18 barangan terkawal sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau berkata, kerjasama itu penting dalam usaha kementerian untuk memastikan tidak ada peniaga yang cuba mengambil kesempatan tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Skim kawalan harga ini berlangsung selama 17 hari bermula semalam dan berakhir 5 Ogos depan, jadi kita mahu kerjasama orang ramai juga untuk melaporkan sekiranya terdapat peniaga-peniaga yang engkar,” katanya yang turut melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SKHMPHRP).

Skim kawalan harga musim perayaan Aidilfitri membabitkan 18 barangan, diwujudkan sejak tahun 2002 dan dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bertujuan sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan pada musim perayaan.

Antara barangan berkenaan adalah ayam, daging lembu tempatan dan import, cili merah, tomato, bawang kecil, bawang besar, bawang putih, kentang dan kelapa. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");