Perak Hari Ini

LTSAS Selamat Digunakan: DCA

Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh disahkan selamat digunakan berdasarkan kepada laporan lengkap yang disediakan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pihaknya dimaklumkan berhubung perkara itu oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, minggu lalu.

“Tiada lagi kebimbangan dari segi mendapan yang berlaku dan LTSAS kini disahkan selamat digunakan.

“Kita sudah meminta Exco negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi membuat kenyataan rasmi bersama dengan pihak DCA mengenai perkara itu bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat,” katanya kepada pemberita di Ipoh, Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Zambry berkata, dengan perkembangan positif itu, pihaknya menjangkakan pesawat Airbus dan Boeing bersaiz kecil akan dapat mendarat di LTSAS.

Jelasnya lagi, kerajaan Perak juga menerima pertanyaan dan jemputan daripada beberapa syarikat penerbangan yang menunjukkan minat untuk beroperasi di Ipoh.

Sebelum ini, pemimpin pembangkang Perak meminta Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) negeri menyiasat kerja menaiktaraf LTSAS bernilai RM42 juta kerana pesawat Airbus dan Boeing didakwa tidak selamat mendarat berikutan ada mendapan di landasan.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri katanya, akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membanteras kegiatan judi komputer haram di Perak.

Mengulas pula mengenai wabak Japanese Encephilitis (JE) di Perak, beliau berkata, setakat ini, tiada laporan berhubung penularan kes dilaporkan di negeri itu.

Selaku Exco Kesihatan negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon katanya, diarahkan untuk menyiasat dan memantau perkembangan wabak itu dari semasa ke semasa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");