Sukan Hari Ini

Mohd Izwan pilihan ke Sukan Komanwel

hoki malaysia

Kuala Lumpur: Kekecewaan tidak terpilih beraksi di Piala Dunia di The Hague, Belanda memberi suntikan semangat buat Mohd Izwan Firdaus Tajuddin (gambar) apabila namanya kini mendapat perhatian barisan kejurulatihan skuad hoki negara bagi persiapan ke Sukan Komanwel Glasgow pada 23 Julai hingga 3 Ogos.

Ketua jurulatih kebangsaan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ketika dihubungi semalam, sempat memuji aksi bertenaga pemain itu dan memberi bayangan sedia memilih semula Izwan Firdaus bagi memperkuatkan cabaran negara di temasya sukan kedua terbesar dunia selepas Olimpik itu.

Malah, Dhaarma menyifatkan persembahan ala yo-yo dipersembahkan pemain itu sebelum bertolak ke Belanda menjadi punca Izwan Firdaus tidak tersenarai dalam skuad 23 pemain yang menamatkan kempen di kedudukan terakhir saingan Piala Dunia bulan lalu.

“Saya terkejut dengan prestasinya.

Agak luar biasa, tapi sebelum Piala Dunia nampak tidak menjadi, sebab itulah saya terpaksa ketepikan dia.

“Namun untuk Komanwel, nampaknya peluang dia berada dalam pasukan agak tinggi.

Malah, sejak mula menjalani latihan selepas balik daripada Piala Dunia, dia antara pemain paling menarik perhatian saya,” kata jurulatih terbaik negara 2013 itu.

Sementara itu, Izwan Firdaus, 25, yang berasal dari Pulau Pinang itu mengakui prestasi baik ketika ini berpunca daripada usaha menjalani latihan secara bersendirian sepanjang tempoh dua minggu ketika rakan-rakan lain berjuang di Piala Dunia lalu.

Kerajinannya meluangkan masa hampir dua jam setiap hari berjoging dan menjalani latihan fizikal ringan di persisiran pantai berhampiran rumahnya di Butterworth, mula menampakkan hasil apabila corak permainannya mula meningkat.

“Saya akui sebelum Piala Dunia tempoh hari, prestasi saya kurang memberangsangkan sepanjang latihan hingga membawa kepada penurunan keyakinan.

“Mungkin sebab terlalu kecewa tidak terpilih membarisi skuad negara di pentas Piala Dunia itu, menyebabkan saya mahu bangkit dan cuba memburu tempat ke Sukan Komenwel dan Sukan Asia Incheon.

“Walaupun tidak disenaraikan, ia sama sekali tidak melunturkan semangat saya malah menjadi perangsang tambahan untuk cuba merebut tempat,” kata penyerang yang mewakili Sapura dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) itu.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");