Isu Panas

Peluang dekati ahli

Semarak Kasih Ramadan

ALOR SETAR – Program Semarak Kasih/Mahabbah Ramadan diwujudkan khusus untuk menzahirkan rasa cinta dan kasih kepada bulan Ramadan yang mempunyai keistimewaan berbanding bulan-bulan lain selain mengingatkan ummah bahawa kebajikan di bulan Ramadan akan digandakan pahalanya.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain mengambil keberkatan Ramadan untuk bersedekah, program ini turut mengeratkan hubungan sesama ahli dan masyarakat setempat melalui pelbagai pengisian.

“Inilah masanya pemimpin peringkat negeri dapat bersua muka dengan ahli-ahli peringkat kawasan, dan bersama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya ketika merasmikan Program Semarak Kasih/Mahabbah Ramadan di Markas Pas Kuala Kedah, Kubang Rotan.

Hadir sama, Setiausaha Pas Kedah, Musoddak Ahmad; Yang Dipertua Pas (YDP) kawasan Kuala Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Menurutnya, program seumpama itu juga boleh dilaksanakan di peringkat cawangan atau melalui institusi masjid dan surau, selaras dengan pengertian Ramadan yang menyuburkan kasih sesama manusia selain ibadah-ibadah wajib dan sunat yang dilakukan.

“Aktiviti sebegini bukan sahaja menghidupkan suasana Ramadan malah dapat menghidupkan semangat jemaah kerana dengan keberkatan Ramadan, usaha yang kita lakukan ini dapat mencapai matlamat selain semangat sedia ada yang dipupuk sejak sekian lama,” katanya.

Mahfuz turut menegur berkenaan fenomena ‘sejuk’ yang kononnya melanda sesetengah Pas kawasan, seolah-olah sepi daripada arena politik tanah air.

“Bukan kawasan tertentu sahaja dilanda fenomena ini, hampir kesemuanya namun saya yakin ianya tidak lama. Mudah-mudahan keberkatan program ini yang diadakan pada bulan barokah dapat membina kembali semangat juang hingga menjelang pilihanraya akan datang,” katanya.

Semarak Kasih/Mahabbah Ramadan kali ini bertumpu di kawasan Padang Terap, di mana program ziarah serta sumbangan berjalan serentak disertai pemimpin utama parti yang turun padang mendengar masalah rakyat secara dekat.

Majlis berbuka puasa dan Tarawih turut diadakan bersama masyarakat setempat di Masjid Tong Pelu, Naka.

Kemeriahan dapat dirasakan apabila masyarakat beramah mesra dengan pemimpin yang hadir.

Antara yang dilawati Mahfuz termasuklah, veteran Pas Padang Terap yang suatu ketika dahulu menyandang jawatan Naib YDP Pas kawasan itu, Hashim Abdullah, 75, kini terlantar diserang strok kali kedua.

Beliau yang dijaga isteri dan anak-anaknya tidak lagi mampu melakukan sesuatu dengan sendiri malah tidak dapat mendengar atau mengenali orang-orang di sekeliling.

Beliau pernah memegang jawatan selaku YDP ABIM Seberang Perai dan bergiat aktif di Kulim, Kedah.

Seorang lagi yang turut dilawati, Mohd Fadzil Awang Ahmad, 28, dari Kampung Pinang yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya pada 2008.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");