Jenayah

RM102,000 pampasan putus kaki

pampasan

Parit Buntar: Seorang nelayan muda yang putus kaki kanannya ketika menangkap ikan di laut, gembira apabila menerima pampasan bernilai RM102,000 yang dibayar syarikat insurans, semalam.

Lim Qian Chuan, 26, yang juga ahli Persatuan Nelayan Daerah Kerian berkata, dalam kejadian pada 30 Disember tahun lalu, kaki kanannya terputus selepas tersangkut pada tali pukat tunda digunakannya ketika menangkap ikan bersama bapanya di sekitar perairan Tanjung Piandang, di sini.

Susulan kejadian itu, bapanya bertungkus-lumus membawanya ke beberapa hospital untuk mencantumkan kembali kakinya, namun semuanya sia-sia apabila doktor bertugas mengesahkan kaki yang terputus itu tidak dapat diselamatkan.

Menurut Qiam Chuan, walaupun sedih bergelar orang kurang upaya (OKU), namun dia menerima seadanya nasib itu dan menggunakan wang simpanannya untuk membeli kaki palsu demi memudahkannya untuk melakukan kerja-kerja menangkap ikan kelak.

Namun, penantian selama hampir tujuh bulan akhirnya terbela apabila perlindungan insurans yang dibelinya dari Persatuan Nelayan ketika mula mendaftarkan diri sebagai nelayan beberapa tahun lalu meluluskan sejumlah pampasan kepadanya.

“Saya berterima kasih kepada Pengerusi Majlis Persatuan Pembangunan Pertanian (MP3) Abu Bakar Mat Ali, yang bertungkus-lumus memproses permohonan pampasan saya selama ini.

“Wang ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang saya tanggung selepas bergelar OKU.

“Kejadian itu tidak pernah melunturkan semangat untuk menjadi nelayan dan juga pewaris keturunan nelayan daripada datuk moyang saya lagi,” katanya selepas menerima cek pampasan dari Abu Bakar.

Dalam pada itu, Abu Bakar menyifatkan tragedi yang menimpa mangsa adalah sebagai kemalangan sewaktu berkerja.

Menurutnya setiap nelayan berdaftar di daerah ini digalakkan membeli insurans daripada persatuan nelayan bagi meringankan beban ditanggung ahli atau keluarga jika berlaku kejadian tidak diingini ketika bekerja di lautan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");