Jenayah

Rumah terbakar angkara mercun

Dungun: Kenakalan sekumpulan remaja bermain mercun berhampiran rumah penduduk dipercayai menjadi punca sebuah rumah di Jalan Nibong Stesen di sini, terbakar malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, sebuah rumah tidak berpenghuni musnah terbakar dipercayai terkena mercun, namun kepantasan sekumpulan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian mengawal api daripada menyambar lima rumah berhampiran.

Seorang penduduk berdekatan yang enggan namanya disiarkan berkata, dia terserempak dengan beberapa remaja yang sering bermain mercun di situ.

Katanya, ketika melalui kawasan itu untuk ke masjid bersolat Tarawih ada beberapa remaja dan kanak-kanak bermain mercun di situ dan dia tidak menolak kemungkinan mercun menjadi punca rumah terbabit terbakar.

“Saya tidak nampak, jadi susah untuk membuktikan namun kawasan itu sering menjadi tempat remaja bermain mercun,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, malam kelmarin.

Penduduk bersebelahan, Razina Abdul Wahab, 38, berkata dia terdengar beberapa letupan dan sebaik mengintai dari tingkap, mendapati api membakar rumah itu.

Katanya, dia mengarahkan empat anaknya yang berusia enam hingga 15 tahun keluar dari rumah kerana bimbang api itu boleh merebak ke rumahnya.

“Saya berlari keluar dari rumah memaklumkan kepada beberapa jiran bersebelahan kerana bimbang kebakaran itu merebak ke rumah kami.

“Mujurlah bomba pantas tiba ke tempat kejadian dan berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah kami semua,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");