Jenayah

Sekeluarga disamun tiga lelaki bersenjata parang

Rompin: Tujuh beranak, termasuk seorang warga emas, melalui detik cemas apabila disamun tiga lelaki bersenjata parang dan kayu di rumah mereka di Penempatan Rompin utama Tebu Hitam, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 pagi, semua mangsa yang berusia empat hingga 66 tahun kerugian lebih RM7,200 apabila pelbagai barangan berharga dilarikan suspek, dipercayai warga Indonesia, yang memecah masuk rumah dengan mengumpil pintu belakang.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, tiga suspek berusia 30-an meluru masuk ke dalam bilik utama yang menempatkan sepasang suami isteri di tingkat atas.

“Suami isteri itu diikat menggunakan dawai dan diarah ke bilik tingkat bawah sebelum mengikat pula empat anak pasangan terbabit serta seorang warga emas lalu mengumpul semua mangsa di dalam satu bilik.

“Ketiga-tiga suspek mengambil masa setengah jam untuk menggeledah rumah mangsa serta melarikan barangan berharga, termasuk dua cincin, anting-anting, loket emas, tiga jam tangan berjenama, tiga telefon bimbit, al-Quran digital dan wang tunai kira-kira RM1,700,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, selepas mengambil barangan berharga, semua suspek yang memakai topeng dan bersarung tangan melarikan diri menerusi pintu belakang.

“Mereka melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Perodua Kembara serta dua motosikal yang dipercayai dicuri untuk melakukan jenayah,” katanya.

Johari berkata, mangsa berjaya membuka ikatan sejam kemudian sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk melaporkan kejadian.

“Kita menghantar anggota untuk melakukan siasatan terperinci dan setakat ini kita menjumpai dawai serta cap jari dipercayai milik suspek dan kemungkinan mereka masih berada dalam daerah ini.

“Justeru, kita akan melakukan sekatan jalan raya serta siasatan terperinci bagi menahan semua suspek dalam tempoh terdekat,” katanya.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");