Perak Hari Ini

Tindakan Promosi Jualan Mercun, Bunga Api Di Facebook Undang Padah

Tindakan dua lelaki yang disyaki mempromosi mercun dan bunga api pelbagai jenis melalui laman sosial Facebook mengundang padah selepas ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Perak pada 11 Julai yang lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Nasir Said, berkata kegiatan itu dikesan pihaknya seminggu yang lalu. 

“Aktiviti mempromosikan mercun dan bunga api melalui laman sosial itu mula dikesan pada minggu lalu dan JKDM berjaya mengesan premis yang digunakan untuk menyimpan mercun dan bunga api tersebut selepas membuat intipan.

“Pasukan serbuan telah berjaya menjumpai mercun pelbagai jenis dan jenama yang dianggarkan seberat 77 kilogram (kg) bernilai RM3,360 dan duti/cukai yang terlibat adalah sebanyak RM2,184.

“Turut dirampas ialah sebuah kereta Honda Civic 1.7 di premis tersebut yang disyaki diseludup dari negara Singapura. Kereta tersebut dianggarkan bernilai sebanyak RM20,000 dan duti/cukai yang terlibat adalah sebanyak RM30,050.

“Dua orang lelaki yang berada di dalam premis tersebut telah ditahan reman selama 10 hari di bawah peruntukan Seksyen 116(c) Akta Kastam 1967 bagi siasatan lanjut. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang larangan,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Mohd Nasir berkata, kes itu merupakan antara empat kes rampasan mercun dan bunga pelbagai jenama yang dilaporkan di Perak sehingga 16 Julai.

KDB_0307

Nilai keseluruhan rampasan seberat 273.1 kg itu berjumlah kira-kira RM16,582 dengan melibatkan duti/cukai sebanyak RM10,827.88.

Beliau berkata sepanjang bulan Ramadhan dan menjelang ketibaan sambutan Aidilfitri, pihaknya telah melancarkan Ops Ramadhan mulai 30 Jun sehingga 27 Julai nanti.

“Kes-Kes ini diperolehi hasil daripada inisiatif anggota, maklumat risikan, maklumat awam dan aduan daripada orang awam,” katanya.

Mohd Nasir berkata, pada 30 Jun lalu, pihaknya telah memeriksa premis kediaman di kawasan Manjoi dan menemui 1,056 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan seberat 42 kg.

Mercun dan bunga api tersebut katanya, dianggarkan bernilai RM5,197 dan duti/cukai yang terlibat adalah sebanyak RM3,378.05.  

“Seorang lelaki yang berada dalam premis tersebut telah ditahan dan dilepaskan dengan ikat jamin di bawah peruntukan Seksyen 116 Akta Kastam 1967 bagi siasatan lanjut. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang larangan,” katanya lagi.

Pada 9 Julai lalu, bahagian penguatkuasaan jabatan itu tegas Mohd Nasir, telah menyerbu sebuah premis kediaman di kawasan Silibin.

Hasil pemeriksaan, pasukan itu katanya, menjumpai mercun dan bunga api pelbagai jenis dan jenama dengan anggaran 66.5 kg yang disimpan dalam premis kediaman.

“Mercun dan bunga api pelbagai jenis dan jenama tersebut dianggarkan bernilai sebanyak RM6,220.50 dan duti/cukai yang terlibat adalah sebanyak RM4,043.33.

“Kita turut menjumpai dua buah kenderaan (Honda Civic 1.7 dan Toyota Ipsum) yang disyaki diseludup dari Singapura di kawasan premis tersebut.

“Seorang lelaki yang berada dalam premis tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut dan dilepaskan dengan jaminan di bawah Seksyen 116 Akta Kastam 1967. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang larangan,” katanya lagi.  

KDB_0238

Kes seterusnya dilaporkan berlaku pada 11 Julai lalu di sebuah premis kediaman yang terletak di Taman Sri Rapat, dekat Ipoh.

Tegas Mohd Nasir, hasil pemeriksaan pada jam 3.30 petang itu, pihaknya menjumpai mercun dan bunga api pelbagai jenis dan jenama seberat 61.3 kg yang disimpan dalam premis tersebut.

Mercun dan bunga api pelbagai jenis dan jenama tersebut dianggarkan bernilai sebanyak RM710.50 dan duti/cukai yang terlibat adalah sebanyak RM461.83.

“Seorang wanita yang berada di dalam premis tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut dan dilepaskan dengan jaminan di bawah Seksyen 116 Akta Kastam 1967,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, orang ramai kata Mohd Nasir, digesa tampil menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan yang diketahui seperti kenderaan tanpa permit, senjata api, rokok, minuman keras dan mercun lebih-lebih lagi menjelang perayaan yang akan disambut tidak berapa lama lagi.

Orang ramai boleh menghubungi Pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan Perak di talian 05-5272010 atau menghubungi talian bebas tol JKDM 1-800-88-8855.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");