Berita Hari Ini

TPM lawat lokaliti bintik panas denggi di Selangor

tpm lawat

SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melakukan lawatan kerja ke Kampung Padang Jawa, Jalan Tegas di sini berikutan ia antara lokaliti bintik panas denggi di Selangor.

Beliau meluangkan masa hampir sejam melawat beberapa tempat di dalam kampung itu termasuk dua rumah penduduk bagi meninjau sendiri tahap kebersihan persekitaran kawasan tersebut.

Lawatan kerja satu hari Muhyiddin ke Selangor adalah bagi meninjau situasi sebenar peningkatan kes denggi di situ yang turut disertai Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam serta Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

Muhyiddin turut beramah mesra dengan penduduk kampung berkenaan bagi mendengar sendiri masalah berkaitan demam denggi selain menasihatkan masyarakat supaya sentiasa mengambil langkah sewajarnya membendung penularan wabak berkenaan.

Beliau kemudiannya melawat kawasan tapak pembinaan kondominium di I-City, Seksyen 7 kira-kira 13 kilometer dari kampung berkenaan.

Menurut sumber data Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia bermula Januari sehingga 17 Julai lepas, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi bagi kes terkumpul demam denggi iaitu sebanyak 28,006 kes dengan 38 kematian.

Jumlah tersebut meningkat dengan mendadak berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu sebanyak 6,428 kes dengan tujuh kematian. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");