Berita Hari Ini

Identiti bangsa Malaysia telah lama terbentuk

ramlah

SHAH ALAM – Identiti bangsa Malaysia sebenarnya telah lama terbentuk apabila Malaysia diiktiraf sebagai satu negara dengan masyarakat majmuk.

Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, masyarakat kebanyakannya tidak menyedari perkara itu kerana pembinaan negara bangsa memang bukan terdiri daripada satu bangsa sahaja, tetapi boleh berlaku dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum.

Menurutnya, apabila Persekutuan Tanah Melayu diubah menjadi Malaysia, secara tidak langsung, masyarakat yang berada di negara ini akan menjadi rakyat Malaysia.

“Apabila kita ke luar negara misalnya, pastinya kita akan perkenal diri sebagai rakyat Malaysia, bukan jenis kaum.

“Ketika di dalam negara sahaja barulah identiti kaum itu digunakan. Ia tidak salah kerana sememangnya Malaysia terbentuk daripada kaum yang majmuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan pegangan kuat identiti asal dalam semua kaum di negara ini menghalang pembentukan identiti bangsa Malaysia.

Namun, Ramlah tidak menafikan kenyataan Dr Mahathir itu ada kebenarannya kerana identiti Malaysia seperti tidak kelihatan.

“Tetapi, sama ada kita telah membentuk bangsa Malaysia atau pun tidak, ia tidak menjadi masalah. Kita tidak boleh memaksa setiap individu melupakan identiti asalnya, kerana memang Malaysia diwujudkan pada mulanya dengan perbezaan itu,” katanya.

Beliau berkata, jika masalah perpaduan yang dibimbangi, terdapat tiga cara untuk menyelesaikannya, iaitu melalui sistem pentadbiran persekutuan, sistem pemerintah yang sama iaitu Yang di-Pertuan Agong dan sistem perundangan negara termasuk pendidikan, kewangan dan pertahanan tanpa mengira kaum atau agama.

Ramlah juga menolak jika persetujuan di bawah kontrak sosial yang diwujudkan sejak merdeka diubah.

“Perlembagaan sedia ada jangan diubah kerana ia hanya akan merugikan, bukan beri keuntungan kerana apa yang telah dilakukan pada awal dahulu ada sebabnya,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");