Perak Hari Ini

Pelihara Alam Sekitar Untuk Jayakan Program Homestay

Masyarakat orang Asli di beberapa perkampungan sekitar Sungai Siput digesa agar menjaga kawasan persekitaran mereka bagi menjayakan program homestay yang dirancang oleh kerajaan negeri.

Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Perak, Datuk Roslan Latif, tindakan menebang pokok contohnya perlu dielakkan kerana ia mencemarkan air sungai.

Tegasnya, air sungai yang dahulunya jernih kini menjadi keruh dan kering apabila pokok ditebang.

“Jika tindakan itu berterusan, hasrat kerajaan untuk memperkenalkan program homestay di perkampungan Orang Asli sekitar Sungai Siput tidak akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena program sosial Jabatan Perhutanan bersama Young Muslim Sport Club & Pro Bikers Pulau Pinang yang berlangsung di empat perkampungan Orang Asli iaitu Pos Yum, Beswok, Kampung Kotai dan Kampung Mayes, hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Zolkaply Harun.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, sekiranya program homestay itu berjaya dilaksanakan, penduduk Orang Asli di kawasan terbabit akan mendapat sumber pendapatan tambahan.

“Sebelum ini, program sama diperkenalkan di Taman Negeri Royal Belum membabitkan masyarakat Orang Asli di sana,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, jabatan tersebut katanya, akan membawa permohonan masyarakat Orang Asli di situ untuk merizabkan kawasan penempatan mereka yang kini berstatus hutan simpan.

“Permohonan penduduk akan dipanjangkan kepada pengetahuan kerajaan negeri untuk kelulusan,” tambah Roslan lagi.

Pada majlis sama, setiap keluarga Orang Asli di situ menerima lima anak pokok karas yang akan mengeluarkan gaharu selepas 15 tahun ditanam.

Selain karas, jabatan itu turut menyerahkan benih pokok petai kepada penduduk Orang Asli di keempat-empat perkampungan tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");