Sukan Hari Ini

Naim setuju

naim

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad menyambut baik arahan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jalamuddin Abu Bakar berhubung nasib badan induk berkenaan.

Katanya, setiap arahan akan dipatuhi jika itu yang diinginkan pihak atasan selain jika langkah itu mampu membersihkan nama PKBM yang tercalar.

Sebelum ini, Khairy mengarahkan Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail supaya memulakan langkah pertama untuk menggantung PKBM berkaitan peruntukan kewangan yang disalurkan antara 2011 hingga 2013.

Biarpun sedar ia satu ujian besar dalam sukan itu terutama ketika dalam persiapan untuk menghadapi temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dari 18 September hingga 4 Oktober, Naim mahu semua atlet berbasikal yang bertanding supaya terus memberi fokus kepada latihan masing-masing.

“Ia tidak mengganggu persiapan atlet dan mereka tidak perlu risau kerana ia akan menyebabkan fokus terhadap latihan terganggu. Lainlah jika PKBM digantung atau dibatalkan barulah segala aktiviti atlet terjejas.

“PKBM mempunyai tempoh dua minggu untuk menjawab segala pertuduhan Pesuruhjaya Sukan. Dalam tempoh itu atlet boleh terus menyertai mana-mana pertandingan yang sudah ditetapkan. Mereka tidak perlu risau,” katanya.

Naim berkata, Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab akan mengadakan mesyuarat khas dengan semua ahli majlis bagi membincangkan perkara itu dalam waktu terdekat kerana segala pertuduhan perlu dijawab dalam tempoh dua minggu.

Khairy mengambil keputusan memulakan langkah pertama menggantung PKBM selepas mengadakan mesyuarat kira-kira dua jam bersama Panel Penasihat Sukan (PPS) Khamis lalu bagi membincangkan lebih lanjut siasatan audit dalaman Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dilakukan pada awal tahun ini berhubung dana yang diperuntukkan kementerian.

Isu PKBM bermula susulan kegagalan skuad lebuh raya negara memenangi emas di Sukan SEA 2013 walaupun badan induk berkenaan mendapat peruntukan kewangan bernilai jutaan ringgit yang disalurkan KBS setiap tahun untuk membangunkan pelumba lebuh raya.

Andai PKBM digantung, satu jawatankuasa sementara akan dibentuk untuk mentadbir PKBM dalam tempoh tidak lebih 12 bulan selain boleh mengarahkan untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) bagi memilih pemimpin baru.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");