Berita Hari Ini

Perubahan iklim jejaskan pertumbuhan Asia Selatan

Perubahan iklim akan menjejaskan pertumbuhan Asia Selatan hampir 9.0 peratus menjelang akhir abad ini melainkan kerajaan-kerajaan di dunia berusaha menangani pemanasan global, menurut Bank Pembangunan Asia (ADB).

Rantau itu yang mewakili populasi kelima daripada penduduk dunia dan terdedah kepada iklim ekstrem – banjir bermusim, puting beliung dan kemarau yang membinasakan tanah pertanian dan menyebabkan ratusan ribu orang terpaksa dipindahkan.

Dalam Laporan ADB bertajuk “Penilaian Kos-Kos Perubahan Iklim dan Adaptasi di Asia Selatan” turut melaporkan kos-kos bagi menangani perubahan iklim itu dijangka meningkat dari semasa ke semasa dan menjadi semakin tinggi dalam tempoh jangka panjang.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka merosot sebanyak 12.6 peratus bagi Maldives, 9.9 peratus (Nepal), 9.4 peratus (Bangladesh) dan 8.7 peratus (India) pada tahun 2100.

“Tanpa perubahan global daripada laluan minyak fosil intensif, KDNK tahunan Asia Selatan boleh terjejas bersamaan 1.8 peratus menjelang tahun 2050, yang kemudian bertambah kepada 8.8 peratus peratus pada tahun 2100 berdasarkan senario perniagaan biasa,” katanya.

Maldives dijangka paling teruk mengalami kemerosotan itu dalam beberapa dekad akan datang dengan penyusutan 2.3 peratus KDNK.

Bangladesh, Bhutan, India, Nepal dan Sri Lanka pula menyaksikan pengurangan sebanyak 2.0 peratus, 1.4 peratus, 1.8 peratus, 2.2 peratus dan 1.2 peratus pada tahun 2050.

Negara-negara berkenaan kecuali Sri Lanka, akan menyaksikan lebih banyak kerosakan akibat cuaca telah merosakkan hartanah, infrastruktur, pertanian dan kesihatan manusia, menurut ADB.

Antara tahun 1990 dan 2008, lebih daripada 750 juta penduduk di Asia Selatan terjejas oleh sekurang-kurangnya satu bencana alam yang mengakibatkan kematian hampir 230,000 orang.

Kawasan perairan Bangladesh, India, Maldives dan Sri Lanka akan menyaksikan peningkatan paras laut yang mengakibatkan berlaku perpindahan manusia, memberi kesan kepada pelancongan dan sektor perikanan.

Kos untuk melindungi rantau ini daripada perubahan iklim akan menjadi lebih rendah jika kerajaan-kerajaan di dunia mengurangkan pelepasan gas dan jika kenaikan suhu global dikekalkan di bawah 2.5 darjah selsius, kosnya kira-kira AS$40.6 bilion atau 0.48 peratus daripada KDNK.

India, sebuah daripada ekonomi pertanian terbesar dunia mempunyai risiko teruk dan kemungkinan mengalami kerugian KDNK sehingga 8.7 peratus pada tahun 2100.

“Pertanian menyedia peluang pekerjaan dan kehidupan kepada sebahagian besar populasi luar bandar India dan perubahan dalam suhu dan taburan hujan serta banjir yang berkaitan dengan perubahan iklim akan memberi kesan kepada jaminan keselamatan makanan dan kehidupan,” menurut Timbalan Presiden ADB, Bindu Lohani dalam kenyataannya.

– Reuters

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");