Berita Hari Ini

Senarai akhir jenazah diumum dalam masa terdekat

tragedi mh 17

KUALA LUMPUR – “Saya dan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) juga masih menunggu pengesahan sama ada jenazah nenek tiri kami akan dibawa pulang (Jumaat ini).”

Itu jawapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memahami perasaan sebahagian keluarga waris mangsa nahas MH17 yang resah menunggu maklumat mengenai ahli keluarga mereka.

Nenek tiri Hishammuddin dan Najib, Puan Sri Siti Amirah Kusuma, 83, adalah antara penumpang pesawat malang tersebut.

Sebelum ini, sebahagian waris mangsa memaklumkan masih tidak tahu sama ada jenazah ahli keluarga mereka akan dibawa pulang semasa istiadat penerimaan jenazah di Kuala Lumpur pada 22 Ogos ini.

Hishammuddin berkata, tarikh sebenar baki semua jenazah dapat dikembalikan ke Malaysia bergantung kepada pihak berkuasa Belanda.

“Senarai akhir akan diumumkan dalam masa terdekat. Jika (dalam) senarai yang diumumkan nanti nama nenek (tiri) saya tidak ada, maknanya saya kena tunggu,” katanya selepas taklimat media berhubung Istiadat Penerimaan Jenazah Warganegara Malaysia Tragedi MH17, semalam.

Hishammuddin dalam sidang media selepas taklimat itu berkata, sehingga semalam, 16 daripada 28 jenazah dikenal pasti disahkan akan dibawa pulang semasa istiadat itu.

Seramai 43 rakyat Malaysia terdiri daripada penumpang dan kru pesawat MH17 terkorban selepas pesawat itu ditembak jatuh di Ukraine, pada 17 Julai lalu.

Menurutnya, 28 jenazah itu terdiri daripada 15 penumpang dan 13 kru, dengan 14 jenazah beragama Islam dan 14 lagi jenazah bukan Islam.

“Untuk 22 Ogos ini, yang saya boleh sahkan hari ini (semalam), jenazah yang terlibat jumlahnya 16 tetapi ada kemungkinan jumlah itu akan bertambah. Ia hanya disahkan esok (hari ini),” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, kerajaan akan mengumumkan waktu khusus untuk semua rakyat di seluruh negara bertafakur selama seminit pada hari tersebut, yang juga ditetapkan sebagai hari berkabung negara.

Katanya, laluan digunakan kereta jenazah akan dikenal pasti supaya orang ramai dapat mengambil bahagian memberi penghormatan akhir.

“Jenazah yang tiba Jumaat ini akan dihantar pulang ke lokasi pengkebumian di negeri masing-masing menggunakan laluan darat serta udara.

“Dua pesawat C-130 dan lima (helikopter) Nuri, akan diterbangkan ke Sarawak,” katanya sambil menambah istiadat penghormatan terakhir itu adalah kali pertama dibuat Angkatan Tentera Malaysia kepada orang awam.

Menurutnya, kerajaan ingin memberikan majlis yang walaupun ringkas tetapi penuh penghormatan, dengan Yang di-Pertuan Agong sendiri akan mencemar duli ke istiadat itu.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");